PIlihan raya Kazakhstan satu lagi langkah pembaharuan politik
Bernama
Mac 19, 2023 16:35 MYT
Mac 19, 2023 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pilihan raya mengejut Kazakhstan pada Ahad dijangka menjadi satu lagi langkah pembaharuan politik Presiden Kassym-Jomart Tokayev di negara Asia Tengah itu.
Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan pembaharuan perlembagaan dalam pungutan suara pada Jun 2022 apabila lebih 77 peratus daripada kira-kira 19.3 juta pengundi menyokong reformasi itu.
Pilihan raya untuk Dewan Rakyat atau Mazhilis dan badan tempatan yang dikenali sebagai Maslikhats bakal menyaksikan pelbagai perubahan besar dalam proses pendemokrasian dilaksanakan oleh Tokayev.
Tokayev pernah berkhidmat sebagai menteri luar dan perdana menteri sebelum memegang jawatan itu pada Mac 2019 - menggantikan Nursultan Nazarbayev.
Pilihan raya awal itu diadakan kira-kira dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Januari 2021, menyaksikan beberapa perubahan penting dalam proses pilihan raya sejak pilihan raya parlimen pertama pada 1995.
Kazakhstan mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1991 berikutan pembubaran Kesatuan Soviet.
Selain pembaharuan politik, negara pengeksport minyak dan gas, yang merupakan negara kesembilan terbesar dunia yang sudah menjalani pelbagai pembaharuan ekonomi dan sosial di bawah Tokayev sebagai persediaan menghadapi cabaran semasa dan masa depan dalam persekitaran geopolitik global yang tidak menentu.
Tujuh parti politik bertanding dalam pilihan raya itu, termasuk Parti Amanat yang memerintah (dahulunya Parti Nur Otan) dan dua parti baharu.
Kira-kira 11.9 juta orang layak mengundi dan buat kali pertama sejak 2004.
Satu lagi langkah besar dalam landskap politik ialah had untuk mendapatkan kerusi di Dewan Rakyat telah dikurangkan daripada tujuh peratus kepada lima peratus.
Dalam usaha memperkasa belia dan wanita dalam proses politik dan membuat keputusan serta kebajikan orang berkeperluan khas, senarai parti pilihan raya mesti mempunyai kuota 30 peratus dalam kumpulan ini.
Pencalonan bagi pilihan raya itu diadakan antara 10 Januari hingga 8 Februari. Bagi pemilihan badan tempatan, seramai 3,749 orang akan dipilih di seluruh negara.
Sementara itu, Duta Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata pilihan raya mengejut itu akan mengukuhkan lagi kestabilan politik negara dan pada masa yang sama membantu kerajaan memberi lebih tumpuan kepada pembaharuan ekonomi dan pembangunan sosial.
Beliau berkata penyertaan lebih ramai belia dan wanita dalam proses politik adalah petanda baik untuk masa depan negara.
Duta itu berkata Presiden Tokayev sedar sepenuhnya tentang aspirasi generasi muda untuk memain peranan yang lebih membina dalam proses politik dan pembangunan negara.
"Sudah tentu terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi negara, namun pilihan raya ini adalah titik perubahan penting untuk masa depan Kazakhstan yang lebih baik," kata Sugurbayev kepada media semasa taklimat baru-baru ini.
-- BERNAMA