Pilihan raya Jakarta: Lebih daripada soal agama?
Karim Raslan
April 21, 2017 15:27 MYT
April 21, 2017 15:27 MYT
SAYA di Tebet, di Jakarta Selatan, pada hari pemilihan gabenor Jakarta. Dengan penampilan dan wadah Muslimnya yang sangat menonjol, daerah ini dimenangi dengan selesa dalam kedua-dua pusingan pengundian oleh Anies Baswedan – lawan kepada penyandang gabenor, Basuki Tjahaja Purnama – ahli politik keturunan Cina dan beragama Kristian yang lebih dikenali sebagai Ahok.
Tebet juga merupakan salah satu benteng terakhir orang Betawi – penduduk asal kota raya ini – masyarakat konservatif yang merupakan antara penduduk terawal daerah ini.
Pada tahun 1960-an, ribuan masyarakat Betawi telah dipindahkan dari kawasan Senayan, ketika Presiden Sukarno berhasrat membangunkan hab sukan.
Setengah abad lalu, Tebet merupakan kawasan berbukit yang diliputi hutan, yang sangat terpencil dan miskin sehinggakan orang berkata jin pun tak mungkin datang bertandang.
Selepas beberapa tahun, selain kawasan lapang yang dijadikan taman, Tebet kini padat penduduk. 200,000 orang kini mendiami kawasan yang luasnya tidak lebih 10 kilometer persegi kilometer persegi: menjadikannya sebuah kampung di tengah bandar.
Dengan bangunan tinggi yang boleh dibilang dengan jari, Tebet adalah simpang-siur jalan raya, lorong dan laluan pejalan kaki yang sempit. Pada waktu puncak, daripada kereta sedan sampailah kepada lori, bajaj (beca bermotor), ojek (teksi motosikal) dan kereta sorong, ia hampri sukar ditembusi.
Pada 14 April 2017, hanya lima hari sebelum hari mengundi, regu Ahok, Djarot Saiful Hidayat, telah ke Masjid Jami’ Al-Atiq untuk solat Jumaat. Tersepit di antara Sungai Ciliwung dan sebuah landasan kereta api yang sibuk, kawasan perumahan di sekitar masjid itu adalah antara kawasan yang paling padat di Tebet. Apa yang berlaku kemudiannya telah mendapat liputan media yang cukup kontroversi.
Djarot baru saja menunaikan solat bersama jemaah yang lain. Ketika mahu beredar keluar dari masjid, sambil berhenti seketika beramah mesra dan berswafoto dengan para jemaah, seorang ahli jawatankuasa masjid dikatakan telah menyeru jemaah untuk tidak mengundi calon bukan Islam. Sentimen ini sememangnya serangan utama kepada Ahok sepanjang kempen yang memecah-belahkan Jakarta.
Malah, Ahok sedang dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan menghina agama (yang diangap oleh banyak pihak sebagai tidak adil). Dia didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Al-Quran.
Berbalik kepada cerita di Tebet, orang mula meneriakkan sokongan terhadap Anies dan pada masa yang sama, Djarot meninggalkan masjid. Tidak lama berselang, insiden itu menular di media sosial.
Ada yang mendakwa bahawa Djarot 'dihalau keluar' dari masjid. Hal itu kemudian dijadikan contoh untuk menunjukkan betapa keadaan di Jakarta sudah parah dek pemilihan gabenor dan sentimen anti Cina dan anti Kristian. Apa yang menariknya, polis Jakarta Selatan kemudian mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan bahawa Djarot bukannya diusir walaupun beberapa orang mengejek-ejek beliau.
Laporan media tentang insiden itu menarik perhatian saya, lebih-lebih lagi kerana Tebet kian dikenali (sekurang-kurangnya sejak zaman Reformasi) sebagai pusat kedai-kedai indie (distro), kafe-kafe hipster dan restoran-restoran yang mengundang pengunjung dari serata Jakarta. Walaupun kempen pemilihan ini meluap dengan emosi, salah sebuah distro yang terkenal di daerah ini, Bloop penuh dengan anak-anak muda yang datang melihat-lihat baju T dan hoodie rekaan khas.
Saya kemudiannya ke sana untuk lebih menyelami suasana di akar umbi. Apakah naratif media arus perdana itu tepat — bahawa kelompok ekstremis semakin menguasai Jakarta dan mengikis reputasinya sebagai sebuah kota yang sederhana dan majmuk? Apakah pemilihan ini merupakan pertembungan antara yang baik (Ahok) dan yang jahat (Anies)?
Seperti yang sudah dijangka, pihak masjid dan jemaah kurang selesa untuk diwawancara. Saya lalu mencari petunjuk di tempat lain. Ini membawa saya ke Tebet Dalam — dengan kedai-kedainya yang menarik, warung itik goreng serta agensi umrah dan haji yang dikendalikan oleh Mahfudz Djaelani, orangnya berjanggut, umurnya 71 tahun, seorang pemimpin masyarakat Betawi yang juga bekas ahli Parlimen.
Suaranya serak basah, tidak ubah seperti suara Marlon Brando tatkala membawakan watak Don Corleone, namun sudah tentu tanpa watak jahatnya. Dengan suaranya yang serak-serak itu, dia memberikan pandangannya tentang pemilihan ini: “Bagi orang Betawi, agama itu didahulukan tetapi itu tidak bermakna kami tidak terbuka kepada penganut agama lain. Saya ada ramai jiran beragama Kristian, orang Cina dan Batak. Isu pokok di sini ialah pendekatan anda terhadap orang lain — “ngewongkekan” (peribahasa Jawa yang bermaksud melayan orang dengan penuh hemah).
“Ya, Tebet tidak mengundi Ahok, tetapi adalah salah untuk menganggap itu kerana dia beragama Kristian. Bagi ramai orang, faktor lainnya ialah tingkah lakunya. Ramai orang merasakan dia itu tidak sopan dan angkuh. Dengan orang Betawi, budaya dan adab itu juga mustahak.”
Menurut Pak Mahfudz, orang Betawi berterus-terang - budi yang baik mereka balas sepuluh kali ganda manakala yang buruk dibalas 20 kali ganda. Ini membuatkan saya terfikir - tidak ragu lagi bahawa Anies sangat bermanfaat daripada gelombang sentimen anti Cina. Oleh itu, sebagai pemimpin Anies mesti bekerja keras untuk menanganinya.
Namun, ada faktor-faktor lain yang turut memainkan peranan. Suka atau tidak, pengundi di Indonesia cenderung kepada ahli politik yang berbudaya dan berhemah.
Ahok, dengan latar Sumateranya yang lantang bersuara, mempersona sekali gus menjengkelkan. Walaupun tidak dinafikan, dia merupakan perintis kepada kumpulan minoriti di Indonesia, kegagalannya untuk mengendurkan tingkah lakunya menjadi senjata kepada lawannya.
Tambahan pula, dasar-dasarnya, termasuk pembersihan kawasan setinggan, walaupun popular dalam kalangan golongan kelas menengah, telah menolak pengundi golongan kelas bawahan kepada pesaingnya. Memang benar, agama menjadi faktor penting dalam pemilihan gabenor Jakarta tetapi isu-isu personaliti dan polisi sama pentingnya.
Ini juga boleh jadi senjata makan tuan bagi Anies. Beliau mesti mencari jalan untuk menghentikan kitaran ketimpangan ekonomi dalam kalangan 'wong cilik”'(atau orang kecil) yang telah melonjakkannya ke puncak kuasa. Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan beliau berkongsi nasib yang sama seperti Ahok, tidak kiralah bagaimana agamanya.