Pilihan Raya AS: Hillary Clinton calon pilihan pembaca AstroAwani.com
Syafique Shuib
November 8, 2016 18:06 MYT
November 8, 2016 18:06 MYT
Calon presiden Amerika Syarikat (AS) yang mewakili parti Demokrat Hillary Clinton telah mengungguli satu undian yang dilakukan di akaun Twitter rasmi Astro AWANI, @501awani berhubung pengganti Presiden AS Barack Obama.
Dari 4,381 individu yang mengambil bahagian, 86 peratus memilih Clinton berbanding 14 peratus yang memilih calon parti Republikan Donald Trump.
Pemilihan Presiden AS akan berlangsung hari ini.
Sementara itu, dunia media sosial kini hangat dengan perbincangan tentang pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang akan bermula dalam beberapa jam sahaja lagi.
Hashtag #ImVotingBecause kini trending di media sosial sebagai satu usaha untuk menyeru orang ramai turun ke pusat mengundi.
Tinjauan pendapat BBC hari terakhir kempen menunjukkan Clinton kini mendahului dengan empat mata pada 48 peratus, manakala Trump pada 44 peratus.
Media asing sebelum ini melaporkan, Trump telah ketinggalan di belakang Clinton berikutan beberapa tuduhan daripada wanita yang pernah diraba atau dicium oleh Trump tanpa persetujuan mereka.
Clinton pula terlibat dengan skandal e-mel, yang turut menjejaskan kempen beliau.
Namun, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) merumuskan ia tidak menemui sebarang bukti perlakuan jenayah dalam siasatan terbaru skandal e-mel Clinton.