Pilihan Raya AS: Hashtag #ImVotingBecause seru orang ramai keluar mengundi
Syafique Shuib
November 8, 2016 15:13 MYT
November 8, 2016 15:13 MYT
DUNIA media sosial kini hangat dengan perbincangan tentang pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang akan bermula dalam beberapa jam sahaja lagi.
Hashtag #ImVotingBecause kini trending di media sosial sebagai satu usaha untuk menyeru orang ramai turun ke pusat mengundi.
Selain menjelaskan bahawa mengundi adalah satu tanggungjawab, netizen turut meluahkan calon pilihan mereka dan mengapa mereka tidak memilih pihak lawan.
Untuk pilihan raya kali ini, calon Demokrat Hillary Clinton bersaing rapat dengan calon Republikan, Donald Trump.
“Saya mahukan seorang Presiden wanita kali ini,” kongsi Steve Arndt di Twitter.
@eloveskids pula berkata: “Saya suka Trump dan dasar-dasar beliau. Saya belum pernah dengar penyokong Clinton kongsi satu dasar yang mampu membantu Amerika.”
Selain #ImVotingBecause, hashtag #Election2016 dan #ElectionDay turut trending.
Rata-rata netizen menyeru orang ramai menggunakan peluang ini untuk mengundi sekali gus menentukan hala tuju negara itu dengan pentadbiran baharu.
Saingan sengit di antara parti Republikan dan Demokrat secara tidak langsung telah memisahkan kelompok masyarakat berdasarkan pegangan politik mereka.
Namun, bagi seorang netizen bernama Colin Erklin, beliau berharap masyarakat akan terus bersatu walaupun akan berlaku perubahan besar dalam kepimpinan tertinggi negara itu.
Tinjauan pendapat BBC hari terakhir kempen menunjukkan Clinton kini mendahului dengan empat mata pada 48 peratus, manakala Trump pada 44 peratus.
Sehingga kini 43 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab dalam proses pengundian awal.
##Election2016
##ElectionDay
##ImVotingBecause
#Amerika Syarikat Memilih
#Donald Trump
#Hillary Clinton
#White House