Pilihan Raya AS: Gandingan Kamala Harris, Tim Walz buat penampilan sulung
Bernama
Ogos 7, 2024 17:45 MYT
Ogos 7, 2024 17:45 MYT
WASHINGTON: Calon presiden Parti Demokrat Kamala Harris dan gandingannya yang baru dipilih, Gabenor Minnesota Tim Walz membuat penampilan sulung di khalayak semasa perhimpunan kempen pertama mereka di Philadelphia pada Selasa malam, lapor Agensi Anadolu (AA).
Acara itu menandakan penampilan umum pertama Harris sejak Demokrat mengesahkan beliau sebagai calon presiden parti berkenaan, beberapa jam selepas pemimpin itu mengumumkan Walz sebagai gandingannya untuk jawatan naib presiden.
"Hari ini, saya bangga mengumumkan bahawa saya secara rasmi adalah calon Demokrat untuk presiden Amerika Syarikat.
"Jadi sekarang kita ada kerja yang perlu dilakukan. Kita perlu bergerak ke pilihan raya umum dan menang," kata Harris yang berdiri bersebelahan Walz.
Semasa memperkenalkan Walz, Harris berkata gandingannya itu "membuatkan orang berasa dialu-alukan dan memberi inspirasi kepada mereka untuk bermimpi besar".
"Beliau akan menjadi naib presiden yang seperti itu, dan itulah naib presiden yang layak diterima oleh Amerika," tambahnya.
"Terima kasih kerana mengembalikan kegembiraan," kata Walz kepada Harris selepas Naib Presiden AS itu memperkenalkan gabenor berusia 60 tahun berkenaan kepada orang ramai.
-- BERNAMA
#Calon presiden Parti Demokrat
#pilihanraya presiden Amerika Syarikat
#Kamala Harris
#Tim Walz
#penampilan sulung