Pilihan raya Filipina penting buat Aquino

AFP
Mei 13, 2013 16:27 MYT
Pilihan raya Filipina hari ini dilihat penting bagi Presiden Benigno Aquino bagi melaksanakan agendanya setelah keganasan dan rasuah melingkari permasalahan negara.
Aquino mengadakan pilihan raya bagi memilih pemimpin tempatan untuk memastikan usahanya membasmi rasuah politik dan meningkatkan ekonomi negara.
"Presiden meminta pengundi menaruh kepercayaan terhadap pentadbirannya bagi memastikan kejayaan beliau melaksanakan agenda barunya," kata jurucakap presiden Abigail Valte kepada AFP.
Aquino dipilih sewaktu kejayaan besarnya pada pilihan raya 2010 dengan berjanji untuk membasmi rasuah yang telah menyebabkan kemiskinan kepada 100 juta warganya.
Ramai yang berpendapat Aquino akan kekal menerajui pemerintahan dengan mampu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi lebih pantas dari negara Asia Pasifik lain tidak termasuk China.
Pendirian teguh Aquino bagi membanteras rasuah telah berjaya mendakwa bekas presiden Gloria Arroyo yang turut mendapat sokongan ramai.
Dengan kekangan perlembagaan yang menghadkan seseorang presiden hanya boleh memerintah selama enam tahun, Aquino mempunyai masa yang suntuk bagi mengotakan janjinya.
Pilihan raya pertengahan penggal yang menawarkan 18,000 jawatan bermula dari Ahli Dewan Undangan Negeri, gabenor wilayah hinggalah ke penggubal undang-undang dilihat penting bagi menyokong pemerintahan Aquino.
Aquino yakin mendapat majoriti besar di kedua-dua Kongres berdasarkan sokongan parti perikatan yang membolehkan sesuatu undang-undang diluluskan berbanding tiga tahun pertama beliau yang tidak mempunyai perkenan Senat.
Salah satu reformasi terbesar Aquino adalah menjalankan rundingan dengan pemisah Muslim bagi mengakhiri pemberontakan di selatan negara itu yang menyaksikan 150,000 nyawa terkorban dan membantutkan pengembangan ekonomi.
Rundingan damai tersebut memerlukan sokongan majoriti parlimen.
Aquino turut berazam untuk meningkatkan pungutan cukai yang mencakupi sektor pelombongan bagi menampung khidmat keselamatan sosial.
#Asia Pasifik #Benigno Aquino #keganasan #kemiskinan #pilihan raya Filipina #Rasuah
;