Pilihan Raya Filipina 2022: Duterte dapat sokongan bertanding naib presiden
Bernama
Ogos 24, 2021 05:32 MYT
Ogos 24, 2021 05:32 MYT
MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mendapat sokongan parti politik yang memerintah untuk menjadi calon naib presiden pada pilihan raya 2022, kata Setiausaha Kabinet Karlo Nograles pada Selasa.
"Duterte bersetuju untuk dicalonkan selepas menerima sokongan PDP-Laban," kata Nograles yang juga Naib Presiden Eksekutif PDP-Laban dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
Penggal enam tahun Duterte akan berakhir tahun depan.
Nograles berkata PDP-Laban akan membincangkan pencalonan Duterte pada konvensyen parti itu bulan depan.
Duterte, 76, dipilih sebagai presiden pada pilihan raya Mei 2016. Perlembagaan mengehadkan jawatan presiden hanya sepenggal selama enam tahun.
Berdasarkan undang-undang Filipina, naib presiden dipilih secara berasingan. Naib presiden boleh dicadangkan sebagai presiden jika presiden meninggal dunia atau tidak mampu menjalankan tugasnya.
Setakat ini, Duterte mahupun jurucakapnya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung sokongan itu.
-- BERNAMA