Pilihan raya Cameroon, proses undian tamat
Astro Awani
Oktober 8, 2018 08:34 MYT
Oktober 8, 2018 08:34 MYT
Proses pengundian tamat di Cameroon petang Ahad dan pengiraan undi bermula pada pilihan raya yang mungkin akan melihat pemimpin tertua Afrika memenangi satu penggal lagi di tengah-tengah pertempuran dan ancaman daripada puak pemisah yang menghalang penduduk di kawasan itu daripada mengundi.
Presiden Paul Biya, yang memegang jawatan itu sejak 1982, bersumpah untuk menamatkan krisis yang berlangsung lebih setahun yang telah mengorbankan lebih 400 orang di wilayah Barat Daya dan Barat Laut negara Afrika Tengah.
Parti pembangkang yang goyah tidak berjaya meletakkan pesaing yang kuat untuk mencabar pemimpin berusia 85 tahun itu.
Pengundian berakhir sekitar jam 6 petang waktu tempatan dan keputusan dijangka dikeluarkan dalam masa dua minggu.
"Saya berpuas hati selepas melaksanakan tanggungjawab saya, terutamanya memandangkan pilihan raya ini telah berlangsung dalam keadaan tenang dan damai, tanpa sebarang pertelingkahan," kata Biya selepas membuang undi.
"Saya harap keadaan aman ini akan berterusan selepas keputusan pilihan raya diumumkan."
Joshua Osih, pemimpin parti pembangkang utama, Parti Barisan Demokratik, yang mengundi di Douala, menggesa agar ketelusan dipastikan dalam proses pengiraan undi.
"Hasrat saya ialah, keputusan undian tidak diganggu. Ketelusan harus menjadi keutamaan. Dan pilihan yang dibuat rakyat Cameroon mesti dihormati," katanya.
Bagaimanapun, ketika calon-calon ini berucap, aktiviti keganasan telah pun bermula.
Menurut Gabenor Deben Tchoffo dari wilayah Barat Laut, pihak tentera telah membunuh dua lelaki bersenjata di bandar Bamenda.
#Cameroon
#Joshua Osih
#keganasan
#kerajaan
#krisis
#Paul Biya
#pembangkang
#pilihan raya
#presiden
#tentera