Pilihan raya AS: Biden, Trump setuju dengan dua Debat Presiden

Bernama
Mei 16, 2024 03:30 MYT
Joe Biden (kanan) dan Donald Trump telah bersetuju untuk mengadakan dua Debat Presiden pada Jun dan September ini sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya Presiden tahun ini. - Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan bekas Presiden Donald Trump telah bersetuju untuk mengadakan dua Debat Presiden pada Jun dan September ini sebagai sebahagian daripada kempen pilihan raya Presiden tahun ini.
Debat antara Biden dan Trump yang dianggap calon Presiden mewakili parti Demokrat dan Republikan akan disiarkan oleh dua rangkaian televisyen CNN dan ABC, lapor Xinhua.
"Saya telah menerima jemputan daripada @CNN untuk debat pada 27 Jun. Giliran anda, Donald. Seperti yang anda katakan: di mana sahaja, pada bila-bila masa, di mana-mana tempat," kata Biden menerusi hantaran di X.
Menurut Presiden, beliau juga telah menerima jemputan untuk satu lagi debat yang dihoskan oleh ABC pada 10 Sept.
Sementara itu, Trump mengesahkan bahawa beliau akan berdebat dengan Biden pada dua waktu yang dicadangkan iaitu Jun dan September, sambil menambah bahawa beliau sangat mengesyorkan lebih daripada dua debat.
Menurut CNN, debat itu akan diadakan di studio Atlanta rangkaian berkenaan tanpa kehadiran penonton.
ABC juga melaporkan bahawa Biden dan Trump telah bersetuju untuk debat waktu perdana di studio ABC News. - BERNAMA
#debat presiden #Joe Biden #Donald Trump #pilihan raya presiden amerika syarikat