Pilihan raya Bangladesh: Pembangkang boikot, Sheikh Hasina sedia teruskan khidmat sebagai PM
Agensi
Januari 7, 2024 08:30 MYT
Januari 7, 2024 08:30 MYT
DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina bersedia untuk memenangi penggal keempat berturut-turut dan yang kelima keseluruhan untuk pakatannya yang diterajuinya, Liga Awami dalam pilihan raya umum hari ini yang diboikot oleh parti pembangkang utama dan dicemari dengan keganasan menjelang pengundian.
Undian akan bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan dan berakhir pada pukul 4 petang.
Pengiraan akan bermula sejurus selepas tamat pengundian dengan keputusan awal dijangka diperoleh pada awal Isnin.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, negara yang mempunyai populasi 170 juta penduduk itu menuju kepada pemerintahan satu parti secara maya selepas diboikot oleh Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan beberapa sekutunya yang lebih kecil.
Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat, pelanggan utama industri pakaian telah menggesa pilihan raya yang bebas dan adil - yang ke-12 negara itu sejak kemerdekaan pada 1971.
Kira-kira 120 juta pengundi akan memilih daripada hampir 2,000 calon untuk 300 kerusi parlimen yang dipilih secara langsung.
Pada pilihan raya kali ini juga, terdapat 436 calon Bebas iaitu paling ramai sejak 2001.
BNP mendakwa, Liga Awami telah menyokong calon "boneka" sebagai calon Bebas untuk cuba menjadikan pilihan raya kelihatan boleh dipercayai, satu dakwaan yang dinafikan parti pemerintah.
Bahkan BNP yang juga memboikot pengundian 2014 tetapi mengambil bahagian pada 2018, telah meminta orang ramai untuk mengelak tinjauan itu dan menggesa mogok dua hari di seluruh negara mulai Sabtu.
Sheikh Hasina yang menolak tuntutan BNP untuk meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pihak berkuasa berkecuali untuk menjalankan pilihan raya, menuduh pembangkang mencetuskan protes antikerajaan yang menggegarkan Dhaka sejak akhir Oktober dan membunuh sekurang-kurangnya 14 orang.
Dengan keputusan undian hampir pasti dan risiko keganasan yang meningkat, peratusan keluar mengundi dijangka mungkin rendah.
Keganasan meletus pada malam pilihan raya termasuk penunjuk perasaan membakar kereta api penumpang yang mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, manakala beberapa pusat mengundi dan institusi dibakar di seluruh negara.
Anggota tentera telah dikerahkan ke seluruh Bangladesh untuk mengawal keselamatan dan keamanan manakala hampir 800,000 polis, pasukan separa tentera dan bantuan polis akan mengawal pusat mengundi pada hari Ahad.
Dalam 15 tahun terakhir berkuasa, Sheikh Hasina, 76, telah dipuji kerana mengubah ekonomi Bangladesh dan industri pakaian.
Bagaimanapun, dalam masa sama, pengkritik beliau menuduhnya mengamalkan sistem pemeritahan autoritarian, melaksanakan pencabulan hak asasi manusia, tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan penindasan perbezaan pendapat.
Saingan utamanya dan Perdana Menteri sebanyak dua kali, pemimpin BNP Khaleda Zia yang kini berada di bawah tahanan rumah atas tuduhan rasuah.
Pembangkang menuduh dakwaan ke atas Khaleeda sengaja dibuat-buat.
Sementara anak lelaki Khaleda, Tarique Rahman pula merupakan pemangku pengerusi parti politik itu, tetapi dia kini berada dalam buangan sebagai menghadapi pertuduhan yang dinafikannya.
Ekonomi juga semakin perlahan sejak meletus perang Rusia-Ukraine menyebabkan kenaikan harga bahan api dan import makanan sekali gus memaksa Bangladesh mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk menyelamatkan AS$4.7 bilion tahun lalu. - Agensi