Pikap tentera Thai digempur bom 100kg, enam maut di Pattani

Bernama
Jun 19, 2017 17:56 MYT
Kejadian 11.40 pagi waktu tempatan itu berlaku ketika anggota terbabit sedang melakukan rondaan di wilayah bergolak itu. - REUTERS/Surapan Boonthanom
Enam anggota tentera Thailand maut manakala empat yang lain cedera termasuk dua parah apabila kenderaan mereka terkena bom di Thungyangdaeng, Pattani hari ini.
Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi berkata kejadian 11.40 pagi waktu tempatan itu berlaku ketika anggota terbabit sedang melakukan rondaan di wilayah bergolak itu.
"Bom seberat 50 kilogram (kg) hingga 100kg ditanam di jalan itu dan diletupkan ketika kenderaan trak pikap dinaiki tentera itu melalui jalan terbabit," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata letupan bom buatan sendiri itu menyebabkan trak itu melambung tinggi ke udara selain menyebabkan lubang sedalam beberapa meter di jalan berkenaan.
Serpihan kenderaan pikap itu ditemui bertaburan di merata tempat di lokasi kejadian.
SELATAN-BOM 2 (AKHIR) PATTANI
Piyawat berkata keempat-empat anggota tentera yang cedera itu dibawa ke Hospital Pattani untuk rawatan.
Menurutnya kira-kira 100 anggota tentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memburu mereka yang bertanggungjawab.
Sementara itu, pegawai penyiasat di Balai Polis Thungyangdaeng Mejar Pomphet Choklang berkata pihaknya menemukan tong gas yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan yang membunuh enam anggota tentera itu.
"Siasatan diteruskan untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab serta motif mereka," katanya.
Konflik bersenjata di empat wilayah selatan Thailand sejak awal 2000 sehingga kini telah mengorbankan lebih daripada 6,000 orang.
-- BERNAMA
#bom #cedera #Pattani #siasatan #tentera #Thailand
;