Pihak sokong pengilhakan Rusia ke atas wilayah Ukraine bakal berdepan tindakan - AS

Bernama
Oktober 3, 2022 04:20 MYT
Jake Sullivan menegaskan semula sokongan AS terhadap Kiev semasa bertemu dengan Ketua Pejabat Presiden Ukraine Andriy Yermak di Istanbul pada Ahad. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberitahu Ukraine bahawa pihak yang menyokong percubaan Rusia untuk menggabungkan empat wilayah di timur dan selatan Ukraine berkemungkinan akan "menanggung akibat buruk".
Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan menegaskan semula sokongan AS terhadap Kiev semasa bertemu dengan Ketua Pejabat Presiden Ukraine Andriy Yermak di Istanbul pada Ahad, lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan Rumah Putih.
Sullivan berkata pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Rusia termasuk terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tidak akan menghalang AS, sekutunya serta rakan kongsi mengenakan tindakan ke atas mana-mana individu, entiti atau negara yang memberikan sokongan kepada pengilhakan Rusia, menurut kenyataan itu.
Pertemuan itu diadakan dua hari selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan pengilhakan Donetsk, Lugansk, Zaporozhye dan Kherson setelah melakukan pungutan suara yang dikecam secara meluas sebagai 'palsu'.
Sullivan dan Yermak turut membincangkan situasi di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia Ukraine selepas penahanan pengarah loji Ihor Murashov oleh pihak Rusia serta menghalang rancangan Ukraine dengan PBB untuk mengeksport makanan.
"Sullivan menekankan bahawa AS komited untuk menyokong rakyat Ukraine yang sedang mempertahankan kedaulatan dan demokrasi mereka," memetik Rumah Putih.
Sejak Putin mengumumkan percubaannya menggabungkan empat wilayah, beberapa negara demokrasi telah bertindak balas dengan mengenakan sekatan, termasuk AS, Kanada, Australia dan Britain.
Sebagai respons ke atas tindakan Rusia, Ukraine juga mengumumkan telah memohon untuk menyertai NATO.
Putin menyalahkan perluasan pakatan pertahanan membawa kepada serangannya ke atas Ukraine.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #aneksasi #penggabungan secara paksa #Amerika Syarikat
;