Pihak kerajaan, pembangkang Syria sedia berunding

AFP
Januari 25, 2014 13:03 MYT
Wakil PBB-Liga Arab Syria Lakhdar Brahimi.
Pihak tentera Syria bersetuju untuk berbincang bersama setelah hari pertama rundingan damai terkandas susulan wakil pihak rejim Presiden Bashar al-Assad mengancam untuk keluar dari persidangan.
Selepas mesyuarat dengan delegasi dari pihak rejim dan pembangkang, wakil PBB-Liga Arab Syria Lakhdar Brahimi (gambar) berkata mereka telah bersetuju untuk "bertemu di dalam bilik yang sama" selepas gagal berbuat demikian pada hari pertama rundingan.
Dijemput oleh PBB, Rusia dan Amerika Syarikat, wakil delegasi sepatutnya bertemu buat kali pertama di ibu pejabat PBB di Geneva pada hari Jumaat.
Tetapi perancangan mesyuarat berkenaan gagal setelah pihak pembangkang menegaskan pihak kerajaan harus bersedia untuk berbincang tentang peletakan jawatan Assad.
"Kami tahu bahawa ia akan menjadi sukar, rumit, " kata Brahimi . "Kami tidak pernah menjangka ia akan menjadi mudah. Saya rasa kedua-dua pihak memahami apa yang sedang dipertaruhkan ."
Menteri Luar Walid Muallem sebelum ini telah memberi amaran kepada Brahimi bahawa perwakilan Syria "akan meninggalkan Geneva" jika "sesi serius" gagal untuk diadakan pada hari Sabtu.
Muallem memberitahu Brahimi "perwakilan Syria amat serius dan bersedia untuk bermula, tetapi pihak lain tidak," lapor televisyen negeri Syria.
Namun, Brahimi yakin tiada siapa akan hentikan rundingan.
"Kedua-dua pihak akan berada di sini esok dan mereka akan bertemu. Tiada siapa yang akan meninggalkan Geneva pada hari Sabtu dan Ahad," katanya.
Brahimi berkata perbincangan setakat ini "menggalakkan" tetapi perbincangan mengenai isu-isu berat belum bermula.
"Kami belum membincangkan perkara-perkara yang teras. Kami berharap kedua-dua pihak akan memberikan konsesi yang akan memberi faedah kepada proses itu," katanya.
Timbalan Menteri Luar Syria Faisal Muqdad memberitahu pemberita bahawa pihak pembangkang yang menjadi halangan dalam perbincangan.
"Masalahnya orang-orang ini tidak mahu berdamai, kedatangan mereka ke sini mempunyai pra-syarat, " katanya kepada pemberita.
"Sudah tentu kami bersedia untuk duduk di dalam bilik yang sama. Jadi mengapa kita datang ke sini?"
Ahli delegasi pembangkang Nazir al-Hakim memberitahu AFP mereka hanya bersedia untuk berunding atas dasar perjanjian yang dicapai ketika rundingan damai "Geneva I" pada tahun 2012, yang meminta pembentukan sebuah kerajaan peralihan.
"Kami bersetuju untuk berunding atas pelaksanaan Geneva I. Rejim ini tidak menerimanya," kata beliau
"Kami akan berada di dalam bilik yang sama apabila terdapat agenda yang jelas untuk dibincangkan. Kita perlu jaminan bahawa Geneva I akan dibincangkan," kata Hakim.
Rejim Syria menolak dakwaan pihak pembangkang yang berkata perjanjian Geneva I memerlukan Assad meletak jawatan.
Brahimi akui terdapat "beberapa perbezaan pada tafsiran" dalam beberapa bahagian dalam dokumen itu.
"Kita mengharap beberapa perkara (dalam Geneva I) dapat dijelaskan dengan betul," katanya.
Jangkaan yang rendah untuk satu kejayaan
Jangkaan untuk satu kejayaan sangat rendah ketika perbincangan Geneva II, dimana pegawai-pegawai telah berkata ia boleh bertahan sehingga 10 hari.
Tetapi para diplomat percaya bahawa dengan membawa kedua-dua pihak bersama untuk kali pertama adalah satu tanda kemajuan dan boleh menjadi langkah pertama yang penting.
Dengan tiada pihak yang bersedia untuk konsesi yang serius, pihak tengah akan mencari penyelesaian jangka pendek agar proses perundingan bergerak ke hadapan, termasuk serangan dalam negara, kemasukan bantuan kemanusiaan yang lebih bebas dan pertukaran banduan.
Pembangkang tiba di Switzerland dengan tujuan utama - menggulingkan Assad - sementara rejim berkata apa-apa perbinangan tentang peletakan jawatan pemimpin Syria adalah "garis merah".
Ahli pembangkang terkemuka Burhan Ghalioun memberitahu pemberita bahawa pihak pembangkang tidak akan meninggalkan Geneva sebelum pihak rejim.
"Kami akan kekal sepanjang masa. Pembangkang Syria tidak akan keluar dari persidangan ini sehingga hak-hak rakyat Syria dipenuhi," katanya.
Permulaan persidangan di bandar Montreux, Switzerland pada Rabu menyaksikan pertukaran hangat, dengan Muallem melabelkan pembangkang sebagai "pengkhianat " dan ejen kerajaan asing.
Perang saudara Syria telah mengorbankan lebih 130,000 nyawa dan memaksa berjuta-juta rakyat keluar dari rumah mereka.
Ia memerlukan beberapa bulan untuk meyakinkan kedua-dua pihak untuk datang ke persidangan itu, dengan pihak pembangkang hanya membuat keputusan pada saat akhir untuk hadir.
#Bashar al-Assad #rundingan damai #Syria
;