Pihak cuba menipu rekod perjalanan di Britain berdepan hukuman penjara 10 tahun

Agensi
Februari 10, 2021 14:39 MYT
Hancock berkata, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun di bawah dasar sempadan COVID-19 yang baru diumumkan pada Selasa lalu. - Gambar REUTERS/Peter Nicholls
UNITED KINGDOM: Kerajaan Britain tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu rekod perjalanan khususnya dari kawasan yang berada dalam senarai larangan.
Setiausaha Kesihatan negara itu, Matt Hancock berkata, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun di bawah dasar sempadan COVID-19 yang baru diumumkan pada Selasa lalu.
Tegas beliau, penduduk United Kingdom (UK) dan Ireland yang tiba di England (dari kawasan merah) diperintahkan untuk mengambil pakej kuarantin bernilai 1,750 pound (RM9,774) setiap orang meliputi penginapan, ujian saringan dan barangan keperluan lain.
"Individu yang tidak mematuhi peraturan, termasuk mereka yang tiba dari negara senarai merah tanpa hotel yang ditempah, juga boleh dikenakan denda.
"Langkah-langkah ini kerana kami berdepan dengan ancaman terhadap kesihatan awam. Maka, mereka yang melanggar peraturan ini akan membahayakan kita semua," katanya yang dipetik laporan Alarabiya News.
Dalam pada itu, Hancock berkata, sebanyak 33 negara, termasuk Afrika Selatan, Portugal dan seluruh Amerika Selatan menyekat perjalanan ke England kerana kebimbangan mengenai varian baharu COVID-19.
"Perintah ujian saringan turut dilakukan yang tidak hanya tertumpu kepada ujian sebelum perjalanan sahaja yang ditetapkan. Kini adalah menjadi syarat bagi semua pihak yang tidak berada di England untuk melakukan ujian saringan. Jika gagal denda akan dikenakan," katanya.
Tambah Hancock, sistem tempahan akan beroperasi pada hari Khamis dan kerajaan turut menjalinkan kerjasama dengan 16 hotel dengan menyediakan 4,600 unit bilik.
"Mereka yang tidak menjalankan proses kuarantin di hotel yang ditetapkan akan dikenakan denda sehingga 10,000 pound (RM55,849).
"Potensi hukuman lebih berat sehingga 10 tahun penjara juga boleh dikenakan terhadap mereka yang menipu untuk mengunjungi salah satu daripada 33 negara dalam senarai merah," ujarnya lagi.
#Britain #COVID-19 #United Kingdom #Portugal #varian baharu #Afrika Selatan #ujian saringan #Cuba #kesihatan #kuarantin #kawasan merah
;