Pihak bertelagah di Sudan setuju lindungi orang awam
Bernama
Mei 12, 2023 17:31 MYT
Mei 12, 2023 17:31 MYT
WASHINGTON: Pihak bertelagah dalam konflik Sudan bersetuju untuk melindungi orang awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan, menurut Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bagaimanapun, rundingan untuk gencatan senjata gagal dicapai, menurut kenyataan Jabatan Negara AS pada Khamis.
Perbincangan berhubung gencatan senjata dijangka bermula pada Jumaat, lapor New York Times, memetik sumber yang tidak dinamakan di Jabatan Negara.
Menerusi perjanjian yang berlangsung di bandar Jeddah, pihak bertelagah komited untuk membenarkan bantuan kemanusiaan ke Sudan, selain "mengosongkan dan mengelak daripada menggunakan" kemudahan seperti hospital untuk membolehkan penduduk menguruskan pengebumian.
Presiden Sudan Abdel Fattah al-Burhan sedang bergelut untuk mempertahankan kedudukannya dengan sokongan Angkatan Tentera Sudan (SAF) menentang timbalannya, Mohammed Hamdan Daglo yang mengetuai pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Konflik antara kedua-dua jeneral itu mengakibatkan lebih 500 orang terbunuh, menurut angka rasmi dari Kementerian Kesihatan Sudan, namun pemerhati mendakwa jumlah korban sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
-- BERNAMA