Pihak berkuasa Vietnam arah perniagaan di Hanoi Train Street ditutup

Agensi
September 16, 2022 13:53 MYT
Arahan yang mencetus kontroversi antara pengusaha perniagaan kecil-kecilan dengan kerajaan tempatan itu tidak menyatakan tempoh sebenar penutupan berkenaan. - Instagram @e____ny
HANOI: Pihak berkuasa di Vietnam telah mengeluarkan arahan penutupan sementara operasi salah satu daripada tarikan polular di Hanoi – 300 meter landasan kereta api yang di sepanjang jajarannya terdapat kafe, restoran dan kedai.
Agensi berita Channel NewsAsia melaporkan, pihak berkuasa di daerah Hoan Kiem, Hanoi mengumumkan tindakan itu pada Rabu (14 September), dengan menyatakan faktor risiko keselamatan seperti yang dibimbangi syarikat kereta api negara.
Arahan yang mencetus kontroversi antara pengusaha perniagaan kecil-kecilan dengan kerajaan tempatan itu berkuat kuasa pada Sabtu (17 September), dan tidak menyatakan tempoh sebenar penutupan berkenaan.
Terkenal dengan gelaran Hanoi Train Street, kawasan itu pada tahun 2019 pernah mencetus rasa kurang senang kerajaan tempatan.
Para pelancong yang datang ke lokasi itu untuk bergambar atau untuk melihat kereta api melalui landasan telah dihalang dengan penghadang yang diletakkan pihak berkuasa, sementara arahan penutupan kafe-kafe di sepanjang sisi landasan telah dikeluarkan, atas aspek keselamatan.
Bagaimanapun, pengusaha perniagaan di situ telah membuat bantahan atas alasan ia menjejaskan pendapatan serta merencatkan pertumbuhan pelancongan. Bantahan itu telah membuatkan pihak berkuasa beralah.
Seterusnya, selama pandemik melanda dunia, kawasan tersebut sepi dari pengunjung. Ketika negara melonggarkan peraturan pergerakan pada Mac, pengusaha perniagaan secara perlahan-lahan kembali meneruskan operasi.
“Sehingga kini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang nasib perniagaan di situ. Mereka sentiasa mahu menutup terus perniagaan di sini. Merka tidak mahu mencari penyelesaian yang lebih baik,” ujar pemilik Railway café, Le Tuan Anh, 50, yang telah mula bertapak di situ selama tujuh tahun.
Menurutnya, para pengusaha di kawasan tersebut turut mengambil tindakan memperoleh bekalan elektrik dan air mengikut saluran yang betul, membersihkan landasan, serta memberi amaran kepada pengunjung agar menjauhi landasan apabila kereta api hendak melaluinya.
“Sejak keluarga saya tinggal di sini pada 1965, tidak pernah berlaku sebarang insiden buruk melibatkan pelancong asing mahupu pengunjung tempatan,” katanya.
Landasan kereta api itu telah dibina semasa era pemerintahan Perancis pada awal kurun ke-20 dan kini ia di bawah pengurusan syarikat Kereta Api Vietnam.
Bangunan untuk menempatkan pekerja-pekerja dibina di sepanjang sisi landasan pada tahun 1950-an dan 1960-an untuk mereka menetap bersama keluarga masing-masing.
#hanoi train street #Vietnam #kawasan pelancongan #kereta api #penutupan operasi
;