Pihak berkuasa pertingkat usaha keluarkan kapal Ever Given
Astro Awani
Mac 27, 2021 07:02 MYT
Mac 27, 2021 07:02 MYT
PIHAK berkuasa sedang bersiap sedia untuk melakukan tindakan baharu bagi membebaskan kapal kontena Ever Given yang masih lagi tersekat di Terusan Suez, Mesir.
Usaha itu, bagi membuka semula laluan air terpenting untuk perkapalan global.
Ketua Penguasa Terusan Suez, Leftenan Jeneral Osama Rabei berkata, insiden yang menganggu perdagangan global itu bukan semata-mata berpunca daripada angin kencang.
Dalam satu sidang media, Rabei menolak andaian yang bertentangan dibuat beberapa pihak.
Katanya, banyak faktor menyebabkan kejadian itu berlaku.
Siasatan mengenai puncai kejadian sedang berjalan dan beliau tidak menolak kemungkinan berpunca daripada kecuaian manusia atau kesilapan teknikal.
“Kapal tersebut pernah mengalami masalah teknikal dan kemungkinan kejadian berlaku atas kesilapan kapten kapal itu sendiri.
“Saya tidak dapat menyatakan dengan terperinci punca kejadian sebelum siasatan selesai. Maklumat awal yang kami perolehi menunjukkan punca kejadian akibat ribut dan angin kencang.
“Selalunya kejadian seperti ini berlaku atas beberapa sebab dan kami sedang lakukan siasatan. Kami hari semua pihak akan memberikan kerjasama,” jelasnya.
Kapal MV Ever Given, yang lebih panjang daripada empat padang bola sepak, tersekat secara menyerong merintangi Terusan Suez sejak Selasa lalu, menutup laluan air kedua-dua arah.
Ia menyebabkan kesesakan lalu lintas ke atas lebih 200 kapal di kedua-dua hujung terusan sepanjang 193 kilometer (km) dan menyebabkan kelewatan penghantaran minyak dan produk lain.
Sementara itu dalam satu rakaman satelit yang diperolehi The Associated Press menunjukkan beberapa kapal tunda dan pekerja digunakan dalam usaha membebaskan kapal kargo raksasa yang tersangkut di Terusan Suez.
Antara lain, rakaman di sekitar kapal turut menunjukkan adanya usaha menggali di sepanjang terusan menggunakan kapal korek.
Kapal kontena, Ever Given pernah terlibat dalam kemalangan di perairan utara Jerman awal 2019.
Laporan mendedahkan, kapal berkenaan pernah melanggar sebuah feri kecil di Sungai Elbe, di sebuah pelabuhan di Hamburg.
Tiada penumpang berada di dalam feri itu semasa kejadian.
Bagaimanapun, pelanggaran itu mendatangkan kerosakan teruk kepada feri berkenaan.
Pendakwa raya membuka kertas siasatan berhubung insiden itu dan mendakwa kapten serta pengemudi Ever Given kerana mendatangkan bahaya kepada laluan kapal.
Bagaimanapun, siasatan mengenainya ditutup pada Mac 2020 kerana kekurangan bukti kukuh.
Semasa kejadian pada 2019, para pegawai tidak dapat pastikan punca kemalangan Ever Given dan feri tersebut.
Bagaimanapun, mereka senada bahawa angin kencang semasa kejadian melambatkan perjalanan Ever Given lalu menghimpit feri kecil itu.