Pihak berkuasa pecah masuk rumah individu dikuarantin, bunuh anjing peliharaan
Agensi
November 15, 2021 22:13 MYT
November 15, 2021 22:13 MYT
SHANGRAO: Pihak berkuasa tempatan di China tampil memohon maaf selepas salah seorang kakitangannya bertindak menceroboh masuk ke rumah seorang wanita yang dikuarantin akibat COVID-19 dan mencederakan haiwan peliharaannya sehingga mati.
Pada Jumaat, pemilik haiwan peliharaan dari bandar Shangrao, di wilayah Jiangxi memberitahu bahawa seluruh kawasan kediamannya diarah untuk melakukan kuarantin di sebuah hotel tempatan tanpa membawa binatang peliharaan.
Dia mendakwa, pihak berkuasa telah memberi amaran beberapa kali kepadanya sama ada meninggalkan anjing peliharannya itu di rumah atau ia akan dibunuh.
Namun, sewaktu dia telah berada di pusat kuarantin, dia mendapati pihak berkuasa telah memecah masuk ke rumahnya dan memukul anjing peliharaannya dengan batang besi menerusi rakaman CCTV dari rumahnya.
Wanita itu yang berkongsi kejadian itu di platform Weibo memberitahu, anjing kesayangannya dilihat berlari ke bilik lain sehingga hilang dari pandangan CCTV, namun dia ada mendengar bunyi suara anjingnya seolah-olah sedang merengek kesakitan.
“Selepas beberapa minit, mereka (pihak berkuasa) telah membawa satu beg plastik kuning dan berkata akan membawa anjing itu keluar,” jelasnya di Weibo.
Kerajaan tempatan bagaimanapun telah memohon maaf pada hujung minggu lalu dan berkata kakitangan terbabit telah ditukarkan kepada jabatan lain serta-merta.
Pada Sabtu malam, kerajaan daerah Xinzhou di Shangrao membuat satu posting kemas kini dengan menyatakan bahawa pekerja itu telah diberi amaran dan dipindahkan ke jawatan lain, permohonan maaf juga telah dibuat kepada pemilik haiwan peliharaan.
Namun, permohonan maaf itu tidak meredakan kemarahan orang ramai yang mengecam tindakan individu berkenaan yang dilihat tidak mempunyai motif di sebalik apa yang dilakukannya.