Pihak berkuasa Mozambique sahkan terima serpihan didakwa dari MH370 dari warga AS

AFP
Mac 3, 2016 10:00 MYT
Buat masa ini belum ada sebarang pengecaman dan pengesahan dibuat berkaitan serpihan yang ditemui di kawasan pantai berdekatan Vilankulo, Pulau Benguerra.
Pihak berkuasa udara Mozambique pada Rabu memberitahu bahawa seorang lelaki warga Amerika Syarikat telah menyerahkan objek yang dipercayai serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu.
Joao de Abreu, Presiden Institut Penerbangan Awam Mozambique memberitahu AFP, buat masa ini belum ada sebarang pengecaman dan pengesahan dibuat.
"Objek itu diserahkan pagi tadi (semalam) oleh seorang lelaki warga Amerika bernama Blaine Gibson," kata de Abreu.
"Dia menemui objek itu ketika berjalan di kawasan pantai berdekatan Vilankulo, Pulau Benguerra (sebahagian dari kepulauan Bazaruto)."
Gibson dilaporkan merupakan seorang blogger dan aktif menyiasat kehilangan pesawat tersebut.
Gibson hadir menyerahkan kepingan debris itu dengan ditemani wakil dari kedutaan Australia.
"Objek itu berukuran 57 sentimeter kali 90 sentimeter. Ia tidak bersimetri, diperbuat dari bahan komposit, dan berwarna kelabu," jelas de Abreu.
"Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa kepingan ini adalah milik sebuah Boeing atau Airbus atau kapal terbang lain.
"Kami akan mendapatkan bantuan pakar untuk menganalisisnya dengan teliti."
Saluran NBC Amerika Syarikat melaporkan penyiasat dari Amerika Syarikat, Malaysia dan Australia telah melihat objek tersebut dan mengandaikan ia berkemungkinan horizontal stabiliser dari pesawat Boeing 777.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Rabu meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan serpihan itu.
Pesawat MH370 hilang dari radar sewaktu dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
BACA: Pintu pesawat ditemui terdampar di pantai Pulau Reunion
Setakat ini, hanya bahagian sayap atau flaperon sahaja yang telah ditemui dan disahkan milik pesawat malang itu. Ia ditemui di Pulau Reunion, Julai tahun lalu.
#debris #MAS #MH370 #serpihan pesawat
;