Pihak berkuasa Indonesia mula pencarian warga Australia hilang di perairan Aceh

Agensi
Ogos 14, 2023 21:30 MYT
Anggota penyelamat Indonesia bersiap sedia untuk mencari bot yang membawa empat warga Australia yang dilaporkan hilang. - Foto AP
ACHEH: Empat warganegara Australia antara tujuh individu yang hilang selepas bot sewa mereka gagal pulang ke Kepulauan Banyak di Aceh.
Memetik news.com, mangsa merupakan antara 12 warga Australia yang menaiki dua bot kayu dalam perjalanan dari Pulau Nias, di luar pantai barat Sumatera utara pada Ahad.
Difahamkan, bot-bot itu belayar ketika cuaca buruk melanda.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Indonesia menamakan empat warga Australia yang hilang sebagai Elliot Foote, Steph Weisse, Will Teagle dan Jordan Short.
Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berkata, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai misi pencarian itu.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan berikutan laporan bot hilang di pantai barat Indonesia,” kata jurucakap itu.
Sementara itu, Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan turut menyediakan bantuan konsulat kepada keluarga empat warga Australia yang hilang serta melakukan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyokong usaha mencari dan menyelamat.
"Ingatan kami sentiasa bersama keluarga dan rakan-rakan mereka yang hilang dalam waktu yang sukar ini,” tambahnya.
#Indonesia #Pulau Nias #warga Australia hilang #misi pencarian
;