Pihak berkuasa Indonesia dan Thailand bekerjasama buru 'raja dadah' Fredy Pratama
Bernama
Jun 6, 2024 17:48 MYT
Jun 6, 2024 17:48 MYT
JAKARTA: Polis Republik Indonesia (Polri) mendedahkan bahawa rakan sejawat mereka dari Thailand kini sedang melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap raja dadah Indonesia, Fredy Pratama yang dipercayai bersembunyi di dalam hutan Thailand.
Inisiatif itu menonjolkan komitmen Polis Diraja Thailand, ketika Polri baru-baru ini mengekstradisi buruan utama Thailand, Chaowalit Thongduang, yang ditahan di pulau percutian Bali pada 30 Mei.
Menurut bahagian hubungan antarabangsa Polri, kedua-dua pihak telah berkomunikasi secara intensif untuk mengesan Fredy, yang disyaki bersembunyi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
"Mereka akan melaksanakan operasi penting terhadap buruan kami, yang telah lama kami cari untuk dihantar balik dan ditangkap," menurut ketua bahagian itu, Inspektor Jeneral Krishna Murti dalam kenyataan pada Selasa.
"Diharapkan kerjasama kami dalam menghantar balik buruan Thailand ini akan membuahkan hasil."
Krishna menyatakan bahawa 10 anggotanya yang mengawal kepulangan Chaowalit ke Thailand juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan Fredy, yang telah berada dalam senarai Buruan Paling Dikehendaki Indonesia sejak 2014 dan mempunyai rangkaian yang luas di Indonesia.
Sementara itu, Chaowalit, 37, telah dihantar balik ke Thailand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada 3 petang waktu tempatan pada Selasa melalui mekanisme kerjasama polis dengan polis, menggunakan instrumen pelanggaran imigresen.
-- BERNAMA
#Polis Republik Indonesia
#ancar operasi besar-besaran
#raja dadah Indonesia
#Fredy Pratama
#Thailand