Pihak berkuasa Haiti, Kenya tingkat operasi ketenteraan selepas serangan Grand Grif

Astro Awani
Oktober 8, 2024 11:30 MYT
Pihak berkuasa Haiti dan Kenya meneruskan operasi keselamatan di Pont Sonde di kawasan pertanian Artibonite di barat Haiti, selepas insiden pembunuhan besar-besaran oleh geng Grand Grif pada Isnin. - Foto REUTERS
ARTIBONITE: Pihak berkuasa Haiti dan Kenya meneruskan operasi keselamatan di Pont Sonde di kawasan pertanian Artibonite di barat Haiti, selepas insiden pembunuhan besar-besaran oleh geng Grand Grif pada Isnin.
Kejadian ngeri itu mengakibatkan hampir 70 orang terbunuh.
Anggota polis di balai polis Pont Sonde telah mengkoordinasikan operasi dan memantau situasi keselamatan di kawasan itu bagi memastikan keamanan termasuk membanteras aktiviti keganasan.
Dalam pada itu, meskipun aktiviti harian penduduk di Pont Sonde kembali seperti biasa namun penduduk masih berada dalam ketakutan terhadap kemungkinan berlaku lagi serangan.
Sementara itu, anggota kumpulan bersenjata dengan senapang automatik menyerang Pont Sonde pada Khamis lalu memaksa 6,270 penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Terdahulu, Kenya berjanji untuk menghantar 600 tambahan pegawai polis ke Haiti dalam beberapa minggu akan datang membantu membanteras kumpulan yang mengawal sebahagian besar ibu kota, Port-au-Prince dan kawasan sekitarnya.
Jumlah ini akan meningkatkan jumlah anggota Polis Kenya ke 1000 orang, yang telah diarah secara berperingkat sejak bulan Jun untuk membantu pasukan polis Haiti.
September lalu, Presiden Kenya, William Ruto memaklumkan semasa lawatannya ke Haiti, beliau terbuka untuk menukar misi memerangi keganasan kumpulan bersenjata di Haiti kepada operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
#Kenya #Haiti #mafia #geng Grand Grif
;