Pihak berkuasa China lulus vaksin COVID-19 keluaran Sinopharm
Astro Awani
Disember 31, 2020 12:32 MYT
Disember 31, 2020 12:32 MYT
CHINA mengumumkan pada Khamis, memberi persetujuan bersyarat kepada vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat milik negara itu, Sinopharm.
Vaksin dua dos yang tidak aktif itu, adalah yang pertama diluluskan untuk penggunaan umum di China.
Keputusan dibuat ketika negara itu menjalankan kempen untuk memberi vaksin kepada 50 juta orang sebelum cuti Tahun Baru China pada Februari.
Timbalan pesuruhjaya Pentadbiran Produk Perubatan Negara (NMPA), Chen Shifei, berkata pada satu sidang media, keputusan telah dibuat pada malam sebelumnya.
Vaksin tersebut dibangunkan Institut Produk Biologi Beijing, anak syarikat Sinopharm.
Pada Rabu, Sinopharm memaklumkan, vaksin koronavirus yang dibangunkannya menunjukkan 79.34% keberkesanan, memetik analisis interim ujian klinikal Fasa 3.
Bukti akhir keberkesanannya akan bergantung kepada lebih banyak data.
Walaupun butiran lanjut masih belum dikeluarkan, syarikat itu mengatakan, vaksin mereka memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan NMPA.
#China
#Beijing
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO
#kesihatan
#perubatan
#koronavirus
#COVID-19
#vaksin
#Sinopharm
#kempen