Pihak berkuasa AS beri amaran mengenai campur tangan Rusia dalam kempen pilihan raya

Bernama
November 2, 2024 22:35 MYT
Menjelang hari pilihan raya presiden, agensi perisikan di Washington memberi amaran mengenai maklumat palsu yang disasarkan dari Rusia. - AP
WASHINGTON: Beberapa hari sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), agensi perisikan di Washington memberi amaran mengenai maklumat palsu yang disasarkan dari Rusia, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Agensi-agensi berkenaan menyalahkan Rusia mengenai video yang "menunjukkan individu yang mendakwa berasal dari Haiti dan menyamar untuk mengundi di beberapa daerah di Georgia".
Satu lagi video palsu mendakwa "seseorang yang dikaitkan dengan calon presiden Demokrat menerima rasuah daripada seorang penghibur AS".
Agensi-agensi itu tidak menghuraikan lebih lanjut dalam kenyataan mereka. Namun, media AS melaporkan, video yang mula beredar lewat minggu ini mendakwa Naib Presiden Kamala Harris dan suaminya menerima rasuah sebanyak AS$500,000 daripada penghibur Sean "Diddy" Combs.
Dalam kenyataan bersama, pejabat pengarah Perisikan Nasional, FBI dan Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur menyalahkan 'pelakon pempengaruh Rusia' sebagai orang yang melakonkan video-video itu.
Kejadian itu sebahagian "usaha yang lebih luas oleh Moscow" untuk menimbulkan persoalan tidak berasas mengenai integriti pilihan raya AS dan mengapi-apikan perpecahan dalam kalangan rakyat Amerika", menurut agensi-agensi itu.
Setiausaha Negeri Georgia Brad Raffensperger, yang bertanggungjawab terhadap pilihan raya di negeri itu, berkata video mengenai Georgia "tidak benar dan merupakan contoh maklumat palsu yang disasarkan yang dilihat dalam pilihan raya ini dan lain-lain. Ia berkemungkinan gangguan asing yang bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan dan kekacauan menjelang Pilihan Raya Presiden 2024".
Raffensperger menggesa pemilik X, Elon Musk, dan pemimpin platform media sosial lain untuk menghapuskan video terbabit. Klip itu pada asalnya dimuat naik oleh akaun tanpa nama yang sebelum ini dilaporkan menyebarkan maklumat palsu dan disyaki berasal dari Rusia. Video itu kemudian dipadamkan.
-- BERNAMA
#pilihan raya #presiden #Amerika Syarikat #Rusia #campur tangan
;