Pihak berkuasa Belgium tahan 16 individu, Salah Abdeslam masih diburu

AFP
November 23, 2015 09:40 MYT
Dilaporkan, 19 serbuan dilakukan di sekitar Brussels termasuk di kejiranan Molenbeek, tempat asal Salah. - Foto AFP
Polis Belgium bertindak menahan 16 individu dalam siri serbuan pada Ahad yang menyaksikan peningkatan tahap keselamatan di negara itu susulan serangan berdarah di Paris minggu lalu.
Namun suspek utama yang diburu Salah Abdeslam masih gagal dijejaki, kata pendakwaraya.
“16 orang ditahan” termasuk seorang yang cedera selepas pihak polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu ke arah polis, kata jurucakap pendakwaraya Persekutuan, Eric Van Der Sypt dalam satu sidang akhbar.
“Salah Abdeslam tidak ditahan sewaktu serbuan,” tambahnya.
Dilaporkan, 19 serbuan dilakukan di sekitar Brussels termasuk di kejiranan Molenbeek, tempat asal Salah.
Tiga lagi serbuan dilancarkan di kawasan perindustrian Charleroi yang turut menempatkan sebuah lapangan terbang antarabangsa.
Tiada senjata atau bahan letupan ditemui dalam serbuan itu, kata pendakwaraya.
Hakim akan menentukan sama ada kesemua mereka yang ditahan akan dibebaskan atau tidak pada Isnin.
Pendakwaraya juga berkata mereka tidak dapat memastikan sama ada individu yang cedera ditembak mempunyai kaitan dengan serangan di Paris.
BACA: Identiti lima suspek serangan Paris: Apa yang telah diketahui
Perdana Menteri Belgium sebelum itu mengumumkan yang ibu kota Brussels akan kekal dalam keadaan berjaga-jaga dengan paras amaran tertinggi dikeluarkan.
Sekolah, universiti dan sistem pengangkutan metro juga ditutup pada Isnin.
Pada 13 November lalu, sekumpulan pengganas melancarkan serangan di beberapa lokasi di Paris termasuk restoran, dewan konsert dan stadium mengakibatkan sekurang-kurangnya 130 orang terkorban dan 352 cedera.
#Belgium #Brussels #Eric Van Der Sypt #Paris #Salah Abdeslam
;