Pihak berkuasa akui krisis Bangkok semakin menggugat keselamatan awam
Astro Awani
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Februari 24, 2014 07:30 MYT
Pihak berkuasa Thailand mengakui krisis di Bangkok semakin menggugat keselamatan awam dan menyifatkan tiga nyawa yang melayang dalam letupan bom di tengah protes anti-kerajaan itu sebagai tragedi.
Perdana menteri, Yingluck Shinawatra pula dilaporkan telah meninggalkan ibu kota Bangkok dan menjalankan tugas dari lokasi 150 kilometer luar Bangkok.
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan wanita berumur 40 tahun adalah antara yang menjadi mangsa letupan bom di Ratchaprasong, pada petang Ahad yang merupakan serangan kedua dalam tempoh seminggu.
Keganasan itu bagaimanapun tidak menjejaskan gerakan kumpulan anti kerajaan untuk menggulingkan pemerintah.
Sehingga kini, sejumlah 17 orang telah terbunuh manakala lebih 700 yang lain cedera dalam keganasan politik sejak 30 November lalu itu.