Pidato Nadiem Makarim beri makna besar buat guru di Indonesia
Faris Danial Razi
November 26, 2019 00:11 MYT
November 26, 2019 00:11 MYT
SEBUAH pidato yang disampaikan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim menjadi bahan bualan seluruh rakyat di negara itu selepas pengisiannya yang membawa seribu makna buat insan bergelar guru, memberi kesan kepada ramai orang.
Indonesia yang menyambut Hari Guru Nasional pada Selasa kebanyakannya terpegun dengan penyampaian beliau sehingga ia menjadi tular di platform media sosial.
Nadiem yang dilantik oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sebagai Menteri Pendidikan Indonesia pada Oktober lalu membawakan pidato tersebut sebagai memperingati jasa guru.
Apa yang disampaikan Nadiem, seolah-olah beliau ingin menggambarkan suatu perubahan yang boleh dilakukan oleh guru di dalam sektor pendidikan.
Pada masa sama, Nadiem mengharapkan guru-guru di negara itu agar sentiasa menyedari kelebihan anak-anak murid kerana setiap pelajar itu mempunyai kemampuan tersendiri.
"Anda tahu setiap anak memiliki kebutuhan berbeda, tetapi keseragaman telah mengalahkan keberagaman sebagai prinsip dasar birokrasi."
"Anda ingin setiap murid terinspirasi, tetapi anda tidak diberi kepercayaan untuk berinovasi."
Demikian itu, beliau mengharapkan agar pihak guru dapat mengambil langkah perubahan tanpa menunggu sebarang perintah daripada pihak atasan.
"Sekecil mana pun perubahan tersebut dan jika ia disampaikan secara serentak oleh semua guru, maka ia mampu memberikan kesan yang besar kepada kemajuan pendidikan di negara itu," menurut ucapan pidatonya.
Dalam pada itu, ramai netizen memberikan pujian kepada Nadiem termasuk selebriti popular Indonesia iaitu Dian Sastrowardoyo atau lebih dikenali sebagai Dian Sastro yang menzahirkan rasa tertarik dengan ucapan pidato Nadiem.
Aktres terkenal itu menghargai penulisan pidato tersebut, kerana visi yang ditunjukkan itu amat jelas dan menunjukkan bahawa Nadiem benar-benar memahami keadaan guru di Indonesia.
#Hari Guru Nasional
#Indonesia
#Joko Widodo
#media sosial
#Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia
#Nadiem Makarim
#pidato