Piano milik penyanyi Queen Freddie Mercury dilelong pada harga RM10 juta
Astro Awani
September 6, 2023 06:30 MYT
September 6, 2023 06:30 MYT
LONDON: Piano yang digunakan penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury, bagi menggubah hampir kesemua lagunya serta manuskrip asal 'Bohemian Rhapsody' telah dilelong di London pada Rabu.
Piano buatan Yamaha itu dijual pada harga £1.74 juta (RM10.16 juta) manakala manuskrip 'Bohemian Rhapsody' mencecah £1.38 juta (RM8.06 juta).
Barangan tersebut antara lebih 1,400 memorabilia Mercury yang dilelong di Sotheby's.
Antara barangan yang pertama dijual termasuk pintu rumahnya di Garden Lodge, West London yang dilelong pada harga £412,750 (RM2.4 juta).
Menurut pegawai Sotheby's, Oliver Barker, manuskrip 'Bohemian Rhapsody' mengandungi 15 muka surat dalam catatan menggunakan pensel dan pen.
Tajuk asal lagu tersebut iaitu 'Mongolian Rhapsody' turut tertera.
Mercury membeli piano berkenaan pada tahun 1975 selepas pencarian enam bulan bagi mendapatkan alat ideal untuk menggubah lagunya.
Seramai 2,000 pembida dari 61 negara mendaftar diri dalam lelongan berkenaan.
Sebahagian daripada keuntungan jualan itu akan didermakan kepada Badan Kebajikan Mercury Phoenix dan Yayasan AIDS Elton John yang terlibat dalam usaha memerangi AIDS.
Lelongan akan diteruskan secara dalam talian minggu hadapan.
Barangan peribadi Mercury lain, termasuk lukisan dari Chagall, Dali, Picasso dan James Jacques Joseph Tissot, turut akan dilelong.
Kesemua koleksi tersebut dijual oleh bekas tunang Mercury, Mary Austin yang telah diwariskan hartanya.
Austin percaya Mercury, yang meninggal dunia pada usia 45 tahun akibat AIDS, akan mempersetujui lelongan barangan tersebut.