Pfizer dan BioNtech kemuka permohonan kelulusan kecemasan penggunaan vaksin di AS, Eropah

Saraya Mia
Disember 1, 2020 20:05 MYT
Perkembangan itu meletakkan vaksin Pfizer Inc dan BioNTech itu selangkah ke hadapan untuk penghasilan vaksin bagi kegunaan umum. -Reuters
FIRMA Amerika Syarikat (AS) dan Jerman, Pfizer Inc dan BioNTech telah memohon kelulusan kecemasan vaksinnya daripada Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa.
Permohonan rasmi yang dikemukakan kedua-dua syarikat itu kepada Agensi Perubatan Eropah (EMA) dibuat sehari selepas permohonan sama dikemukaan di AS dan Britain.
Perkembangan itu meletakkan vaksin Pfizer Inc dan BioNTech itu selangkah ke hadapan untuk penghasilan vaksin bagi kegunaan umum yang dijangka berlaku hujung bulan ini.
“BioNTech sudah boleh menghantar dos-dos vaksin yang pertama dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas mendapat kelulusan,” kata Ketua Pegawai Kewangan BioNTech dalam sidang media, lapor Bloomberg.
EMA menjelaskan pada Selasa bahawa satu mesyuarat mengenai penilaian vaksin berkenaan dijadualkan pada 29 Disember, namun pendapat atau penilaian awal boleh dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Syarikat AS-Jerman itu mengumumkan hasil ujian klinikal interim vaksin buatan mereka adalah 95 peratus berkesan mengelak jangkitan COVID-19, tanpa kesan sampingan, pada 18 November lalu.
Pada Isnin, syarikat pesaing dari AS, Moderna Inc telah memohon kelulusan kecemasan di AS dan Eropah selepas mendakwa vaksinnya 94.1 peratus berkesan mengelakkan jangkitan COVID-19, selain boleh mengelakkan kesan COVID-19 pada tahap lebih bahaya.
#Pfizer Inc #BioNTech #vaksin #kelulusan kecemasan #eropah #Kesatuan Eropah #EU #Moderna #AS #Jerman
;