Petugas TV 'kantoi' layan video lucah semasa siaran berita

Madiha Abdullah
Ogos 9, 2017 19:52 MYT
Sebuah video tarian lucah dapat dilihat ditayangkan pada sebuah komputer yang digunakan petugas bilik berita.FOTO/The Sun/BBC
BEBERAPA bulan sebelum ini, saluran televisyen BBC menjadi tumpuan masyarakat dunia selepas insiden melucukan ketika satu temuramah secara langsung dengan seorang profesor.
Kali ini, satu lagi insiden belakang tabir yang agak melucukan berlaku, membabitkan saluran yang sama.
Namun insiden kali ini bukan sahaja melucukan namun dalam masa yang sama, dilihat sedikit sebanyak menjejaskan nama baik dan kredibiliti saluran berita itu.
Ia berlaku ketika siaran berita jam 10 malam pada Selasa, di mana sebuah video tarian lucah dapat dilihat ditayangkan pada sebuah komputer yang digunakan petugas bilik berita.
Video berkenaan dapat dilihat ketika penyampai, Sophie Raworth sedang menyampaikan berita sukan, disaksikan kira-kira 3.8 juta penonton.
Kalangan penonton mula mempersoalkan bagaimana sebuah saluran televisyen dengan reputasi tinggi seperti BBC, tidak mengenakan tapisan (filter) penggunaan internet untuk pekerjanya.
Hal yang sama juga dibangkitkan anggota The Freedom Association, Andrew Allison.
"Sebuah agensi seperti BBC sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak mengambil ringan hal-hal sebegini. Saya harap mereka akan mengenakan tapisan selepas ini," katanya kepada portal The Sun.
Petugas terbabit dilaporkan telah dipanggil oleh pihak pengurusan namun setakat ini, belum ada tindakan diambil.
#bbc #Penyampai berita #saluran televisyen #video lucah
;