Petugas perubatan bertumbuk dalam dewan bedah dipercayai kerana 'masalah cinta'
Madiha Abdullah
Mei 20, 2017 16:49 MYT
Mei 20, 2017 16:49 MYT
DUA petugas perubatan di sebuah hospital di wilayah Henan, China disiasat polis selepas didakwa bergaduh di dalam dewan pembedahan.
Kejadian dilapor berlaku minggu lepas di Hospital Central Lankao, menurut laporan portal South China Morning Post.
Lebih mengejutkan, insiden itu dipercayai berlaku ketika pembedahan masih berjalan.
Video kejadian berkenaan tular di media sosial, terutamanya di laman Weibo.
Dalam video berdurasi 1:08 saat itu, dua petugas yang masih lengkap mengenakan medical scrub dan surgical cap, dilihat saling berbalas tumbukan sebelum dileraikan petugas lain.
Menurut laporan media China, kedua-dua petugas itu, seorang lelaki dan seorang wanita, dikatakan bergaduh kerana 'masalah cinta'.
Namun menurut beberapa maklumat di laman sosial, mereka bukan pasangan kekasih atau suami isteri.
Polis yang menyiasat kes berkenaan bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan tentang punca pergaduhan itu.
Polis juga menafikan pergaduhan itu berlaku ketika pembedahan sedang berjalan.
Pihak hospital setakat ini belum membuat sebarang kenyataan.