Petugas hospital dakwa rakam gambar 'hantu' di wad kanak-kanak
Kohilah Sekaran
Jun 15, 2015 12:43 MYT
Jun 15, 2015 12:43 MYT
SEORANG pekerja hospital terkejut apabila dia secara tidak sengaja telah merakam gambar ‘hantu’ dengan menggunakan telefon pintarnya berhampiran wad kanak-kanak di Leeds General Infirmary, England.
Remaja lelaki itu mendakwa imej tersebut ialah seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia di hospital tersebut.
Kelihatan di dalam gambar itu, imej seorang kanak-kanak perempuan yang memakai gaun memasuki sebuah bilik di koridor tersebut.
Sumber gambar: Facebook
Difahamkan, Andrew Milburn pada ketika itu sedang menghantar mesej teks kepada teman wanitanya di Leeds General Infirmary pada Jumaat sejurus sebelum memulakan syif malamnya.
Untuk membuktikan kepada teman wanitanya bahawa dia memang berada di tempat kerja, Andrew mengambil gambar koridor Clarendon Wing sambil berjalan melepasi kawasan tersebut.
Lelaki berusia 21 tahun itu berkata dia tidak tahu bahawa gambar itu sebenarnya menunjukkan ‘sesuatu’ sehingga dia menghantar gambar berkenaan kepada teman wanitanya.
“Teman wanita saya meminta saya untuk membuktikan kehadiran saya di hospital, jadi saya menghantar sekeping gambar menerusi Snapchat dan pada ketika itu saya sedang berjalan ke arah pejabat saya.
"Saya tidak percaya selepas melihat gambar tersebut kerana ketika itu saya tidak merasai kewujudannya,” kata Andrew sepertimana dipetik daripada laporan Metro.UK.
Sumber gambar: Facebook
Sejurus selepas gambar itu dimuat naik di Facebook oleh Andrew, beribu-ribu pengamal media sosial meninggalkan komen mereka.
Beberapa komen mendakwa imej itu telah dimanipulasi, namun Andrew menafikan tuduhan tersebut.
Walau bagaimanapun, gambar itu turut dikongsi kumpulan penyiasat paranormal dan kebanyakan mereka percaya gambar itu adalah benar.
Andrew berkata, sebelum ini rakan-rakan setugas di hospital juga pernah mendengar bunyi tapak kaki di tempat kejadian, walaupun tidak ada orang kelihatan berada di situ.