Petr Pavel presiden baharu Republik Czech
Astro Awani
Januari 29, 2023 11:45 MYT
Januari 29, 2023 11:45 MYT
JENERAL bersara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Petr Pavel menjadi presiden baharu Republik Czech selepas menewaskan bekas perdana menteri Andrej Babis dalam pilihan raya pada Sabtu.
Menerusi keputusan akhir yang dikeluarkan Pejabat Statistik Czech, Pavel yang juga bekas anggota tentera payung terjun itu memenangi pilihan raya berkenaan setelah mendapat 58.3 peratus undi.
Manakala Babis pula memperoleh 41.7 peratus.
Pavel, 61 tahun, mengucapkan terima kasih kepada pengundinya serta mereka yang tidak mengundi tetapi hadir pada pilihan raya berkenaan kerana ia menunjukkan secara jelas bahawa mereka menghormati demokrasi serta prihatin terhadap negara.
"Saya faham bagaimana ada yang rasa kecewa kerana calon pilihan mereka tidak menang. Tetapi pada masa sama, saya tidak melihat adanya mereka yang tewas atau menang dalam pilihan raya ini.
"Saya dapat melihat beberapa nilai yang menjadi keutamaan dalam pilihan raya kali ini seperti kebenaran, maruah, hormat menghormati serta merendah diri, nilai-nilai itu yang menang.
"Saya percaya nilai-nilai ini dikongsi oleh majoriti dalam kalangan kita semua dan amat berbaloi untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, untuk kembali ke pejabat presiden dan ke dalam politik kita juga," katanya dalam ucapan kemenangan di Prague pada Sabtu.
Pavel akan menggantikan Presiden Milos Zeman, iaitu seorang ahli politik yang lantang dan bersengkongkol dengan Moscow sebelum membuat pusingan U semasa Rusia menyerang Ukraine tahun lalu.
Peratusan keluar mengundi di negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan NATO itu disifatkan luar biasa apabila seramai 10.5 juta rakyatnya keluar mengundi, atau lebih 70 peratus, berikutan kempen sengit dan kontroversi yang timbul.
Babis ketika kempen berkenaan memaklumkan, keluarganya menjadi sasaran ancaman bunuh, manakala Pavel pula menjadi mangsa penipuan.
Pavel dalam kempennya berkata, beliau bersedia untuk menangani perpecahan dalam masyarakat akibat kempen terbabit, termasuk beberapa krisis seperti wabak COVID-19 dan perang yang melanda Ukraine serta politik Zeman yang memecahbelahkan masyarakat.
Babis, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Czech sejak 2017 hingga 2021 itu turut mengucapkan tahniah kepada Parvel serta mengaku kalah dalam pilihan raya terbabit.
Pavel akan menjadi Presiden Czech keempat sejak negara itu merdeka berikutan perpecahan secara aman dengan Slovakia pada 1993, empat tahun selepas bekas Czechoslovakia menumpaskan empat dekad pemerintahan komunis.