Petisyen haramkan lagu ajar 'rompak kediaman warga Cina-Amerika'

Agensi
Oktober 4, 2016 17:03 MYT
Petisyen itu antara lain mendesak siasatan undang-undang dijalankan ke atas penyanyi rap, YG, kerana lagunya yang tidak sensitif. - Foto AFP
Sebuah lagu rap oleh seorang artis hip hop Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga Cina-Amerika di negara itu serta pengguna media sosial di China.
Lagu Meet the Flockers, yang dikeluarkan sejak 2014 itu akhirnya mendapat perhatian berikutan banyak pihak menyedari lirik yang terkandung di dalamnya seolah-olah memberi ‘petunjuk untuk merompak isi rumah Cina-Amerika’.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, lagu itu menimbulkan rasa tidak puas hati komuniti selepas sebuah rangkaian televisyen di Los Angeles menyiarkan segmen tentang ‘kumpulan Cina-Amerika yang percaya perniagaan mereka menjadi sasaran berikutan cadangan dalam lagu itu’.
Antara bait lirik lagu itu berbunyi: "First, you find a house and scope it out. Find a Chinese neighbourhood, cause they don’t believe in bank accounts" (Pertama sekali, anda perlu cari rumah dan sasarkannya. Cari kejiranan Cina kerana mereka tidak percaya pada akaun bank).
Video muzik bagi lagu itu menunjukkan sekumpulan perompak yang sedang memerhatikan kediaman-kediaman persendirian dari dalam kereta yang mereka naiki di kejiranan yang terdapat wajah-wajah bangsa Cina-Amerika. Mereka kemudian sewenang-wenang memecah masuk kediaman untuk mencuri barangan berharga.
Satu petisyen dengan 50,000 tandatangan setakat ini akan dihantar ke White House. Ia dibuat bagi mendesak Presiden Barack Obama mengharamkan lagu itu daripada media umum dan menjalankan siasatan undang-undang ke atas penyanyi rap, YG.
Sementara itu, lapor SCMP, pengguna media sosial yang popular di China, Weibo, menzahirkan kemarahan kerana lagu itu menggalakkan jenayah ke atas komuniti ekspatriat bangsa Cina.
#lagu rap #meet The Flockers #rapper #warga Cina-Amerika #YG
;