Petani Indochina kerja keras manfaatkan permintaan pasaran durian China
Bernama
November 17, 2024 17:37 MYT
November 17, 2024 17:37 MYT
PHNOM PENH: Durian mungkin dianggap sebagai buah paling tidak menyenangkan di dunia, namun ia kini menjadi komoditi paling laris, menyaingi tanaman kontan tradisional yang telah diusahakan petani selama beberapa dekad.
Walaupun terkenal dengan bau yang kuat dan kulit berduri, durian telah menjadi produk eksport utama dalam ekonomi Indochina -- Kemboja, Laos dan Vietnam.
Petani tempatan kini bersaing untuk menguasai pasaran China yang berkembang pesat, yang mengimport hampir RM200 bilion atau AS$46.7 bilion durian segar, menurut Pentadbiran Am Kastam China, menjadikan China pembeli terbesar buah itu di dunia.
Durian sememangnya menepati jolokannya sebagai "raja buah" kerana kemunculan varieti baharu menjadikannya begitu popular sehingga mengatasi tanaman kontan seperti kacang gajus, kacang tanah, lada dan tebu.
Terima kasih kepada pengguna China yang telah memupuk minat baharu terhadap buah yang isinya berwarna kuning berkrim dan lazat, durian yang dahulunya sukar dijual di pasaran tempatan kini menjadi eksport menguntungkan.
Angka eksport bernilai berbilion dolar ini amat mengejutkan, dengan Vietnam dan Thailand menerajui kumpulan itu sebagai penanam utama di rantau ini.
"Menjelang akhir Sept 2024, perolehan eksport durian Vietnam mencatat rekod AS$2.7 bilion (RM11.6 bilion).
"Sebaliknya, dalam lapan bulan pertama tahun ini, Vietnam membelanjakan hampir AS$9 juta (RM38.7 juta) untuk mengimport durian dari Thailand dan Malaysia.
"Ini menunjukkan peningkatan mendadak dalam perolehan import durian, yang meningkat hampir 11.6 kali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2023," kata penganalisis Dezan Shira and Associates yang berpangkalan di Hanoi, Vu Nguyen Hanh kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel.
Bank HSBC meramalkan tahun lepas bahawa permintaan terhadap durian boleh meningkat sehingga 400 peratus setiap tahun, terutamanya didorong oleh peningkatan populariti durian dalam kalangan 1.4 bilion penduduk China.
Thailand dijangka kekal sebagai pengeksport utama ke China dengan nilai hampir RM11.9 bilion (AS$2.76 bilion) berikutan varieti seperti Monthong yang memberikan tekstur berkrim.
Namun, Persatuan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Vietnam yakin petaninya mampu mengeksport durian bernilai hampir RM14 bilion (AS$3.5 bilion) pada 2024.
Durian segar dan beku dari Vietnam dieksport ke 22 negara dengan China sebagai pasaran utamanya.
Persaingan semakin sengit. Kemboja dan Laos sedang mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan pelabur China untuk menarik pelaburan dan teknologi bagi membangunkan ladang durian di negara masing-masing untuk meneroka pasaran antarabangsa.
Syarikat pertanian China, Zhengzhou Chen's Sun sedang meneroka penanaman durian dan menyediakan kemudahan pemprosesan di Kemboja.
Petani Kemboja menanam durian di kawasan seluas 5,000 hektar dan menghasilkan 36,600 tan setiap tahun. Varieti tempatannya yang popular ialah Man Tong dan Jouhot.
Di sebelahnya, Persatuan Perniagaan Pertanian Laos mempelawa pengimport pertanian China untuk membantu membangunkan sektor perladangan duriannya yang baru muncul.
Menurut persatuan itu, 20,000 hektar ditetapkan untuk ladang durian, menghasilkan kira-kira 900 tan durian.
Persatuan itu menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kepada 24,300 tan durian menjelang 2029, menjana RM671 juta (AS$156 juta) untuk ekonominya.
Walaupun durian menawarkan mata pencarian yang cerah kepada petani serantau, mereka tetap berhati-hati terhadap kesan perubahan iklim yang boleh menjejaskan pengeluaran dan lebihan bekalan yang mungkin menjejaskan harga di pasaran global.
Namun, pakar industri menjangkakan masa depan yang menarik untuk penanam durian di Indochina apabila halangan perdagangan di ASEAN semakin berkurangan dan meningkatkan kesalinghubungan darat dan logistik rantaian sejuk rentas sempadan yang lebih baik dapat meningkatkan perdagangan.
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan 16 ekonomi juga boleh merancakkan perdagangan serantau dengan menambah baik persekitaran perdagangan dengan tarif yang lebih rendah.
Laos sedang membangunkan kemudahan logistik bersepadu bernilai RM3 bilion di ibu negara - Pelabuhan Kering Thanaleng dan Taman Logistik Vientiane.
Dua rangkaian pengangkutan darat utama - Kereta Api Laos-China yang dilancarkan pada 2021 dan kereta api kargo ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China yang dilancarkan Julai tahun ini - dijangka mengubah dinamik perniagaan pertanian.
-- BERNAMA