Petani Gaza jumpa lantai mozek dari era Byzantine

Astro Awani
September 20, 2022 09:00 MYT
Petani Palestin, Salman al-Nabahin, membersihkan lantai mozek tinggalan zaman Byzantine yang ditemui secara tidak sengaja di tanah ladangnya. - Foto REUTERS
GAZA: Sebuah tapak yang dihiasi lantai mozek dari era Byzantine telah dijumpai secara tidak sengaja apabila seorang petani Palestin mengorek tanah untuk menanam pokok-pokok baharu di ladang yang diusahakannya.
Reuters melaporkan, lantai mozek itu menunjukkan variasi motif burung dan haiwan lain dalam pelbagai warna yang masih dalam keadaan baik berdasarkan usianya.
Salman al-Nabahin menemui kejutan itu enam bulan lalu ketika membuat kerja di ladang pokok zaitunnya di khemah pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.
Pada mulanya Salman hairan kerana beberapa batang pokoknya tidak dapat tumbuh dengan baik, dipercayai kerana keadaan akar yang kurang berkembang. Dia mengambil keputusan untuk menggali dan menggembur tanah itu bersama anak lelakinya. Sehinggalah pada satu insiden, perkakas penggali tanah yang digunakan anaknya terkena pada suatu 'objek' keras.
"Saya membuat rujukan di Internet. Kami dapati lantai mozek berkenaan adalah dari era Byzantine. Saya menganggapnya satu penemuan khazanah berharga, atau lebih dari itu. Ini bukan milik peribadi. Ini milik semua rakyat Palestin," ujar bapa kepada tujuh anak itu.
Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Palestin berkata, lantai tersebut terdiri daripada beberapa panel mozek yang bermotifkan haiwan serta gambaran kehidupan sosial pada zaman Byzantine.
"Penemuan arkeologi ini masih dalam fasa awal dan kami masih mengkaji tentang rahsia dan nilai peradabannya.
"Pasukan penyelidik negara kini menjalankan bekerjasama dengan pakar antarabangsa serta saintis dari Fakulti Arkeologi Perancis," ujar kementerian itu dalam satu kenyataan.
Gaza sememangnya kaya dengan antikuiti, memandangkan ia merupakan kawasan penting perdagangan sejak zaman Mesir dan Palestin kuno seperti yang disebutkan dalam kitab Injil. Zaman itu juga menjadi saksi tentang empayar Rom dan Tentera Salib.
Beberapa lagi penemuan bersejarah pernah dilaporkan sebelum ini. Namun oleh kerana kekurangan dana dan pakar profesional yang relevan, Gaza biasanya menjemput kumpulan antarabangsa untuk membantu proses ekskavasi dan pemuliharaan.
#Gaza #lantai mozek #byzantine #sejarah
;