PETA pilih 'monyet tersengih' sebagai Tokoh Tahunan

Madiha Abdullah
Disember 6, 2017 04:53 MYT
Ramai menganggap pengiktirafan yang diberikan PETA adalah bertitik tolak daripada kegigihan Naruto (gambar) 'memperjuangkan' haknya ke atas pemilikan gambar swafoto yang diambilnya pada 2011. Wikipedia
PERTUBUHAN People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) mengiktiraf seekor monyet istimewa sebagai Tokoh Tahunan pertubuhan itu untuk tahun 2017.
Monyet dari Indonesia yang bernama Naruto itu mula popular selepas mengambil swafoto dirinya sendiri yang sedang tersenyum lebar, pada tahun 2011.
Dalam kenyataannya seperti yang dipetik dalam laporan media antarabangsa, PETA menyifatkan monyet itu sebagai 'individu' dan bukannya haiwan.
Setiap tahun, PETA akan mengiktiraf seorang individu sebagai tokoh, namun tahun ini berlaku sedikit kejutan apabila seekor haiwan dinobatkan dengan gelaran itu.
Ramai menganggap pengiktirafan itu adalah bertitik tolak daripada kegigihan Naruto 'memperjuangkan' haknya dalam menuntut hak pemilikan gambar swafoto tersebut.
PETA, mewakili Naruto, sebelum ini menuntut hak gambar itu diberikan kepada monyet berkenaan kerana Naruto yang memetik shutter kamera milik jurufoto Britain, David Slater.
Foto itu dirakam ketika kembara Slater ke Kepulauan Sulawesi, Indonesia.
Biarpun perbicaraan di mahkamah berakhir dengan gambar itu diberikan hak milik kepada Slater, namun dia diarahkan menyumbangkan 25 peratus pendapatan daripada hasil penggunaan gambar berkenaan kepada tabung pemeliharaan habitat Macaques di Indonesia.
#Indonesia #monyet #People for the Ethical Treatment of Animals #peta #swafoto #Tokoh Tahunan
;