Peta baharu maritim China lepasi garisan sempadan Malaysia, India dan Taiwan
Agensi
Ogos 29, 2023 19:37 MYT
Ogos 29, 2023 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: China dilihat cuba melakukan provokasi apabila Peta Standard China 2023 yang diterbitkan Kementerian Sumber Aslinya jelas menunjukkan garisan yang melangkaui sempadan di Sabah dan Sarawak.
Selain dua wilayah Malaysia tersebut, garisan sempadan itu juga melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Brunei, Filipina, Indonesia, dan Vietnam, selain beberapa kawasan di Arunachal Pradesh, Jammu dan Kashmir di India, dan wilayah Aksai Chin di Taiwan.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, peta itu diterbitkan berdasarkan dakwaan Beijing bahawa jajahan mereka direkodkan seawal tahun 1940an, namun sebelas garisan putus-putus yang mereka gunakan untuk menandai kawasan mereka telah dikurangkan kepada sembilan garisan sewaktu era Mao Zedong (1943 – 1976).
Di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping, China bertindak lebih agresif tentang pengurusan wilayah jajahan, dan telah meluluskan akta baharu pada 2022 yang antara lain menggariskan tanggungjawab negara itu untuk membenarkan pihak berkuasa awam dan tentera mengambil langkah yang dirasakan perlu bagi ‘mempertahankan kedaulatan mereka’.
Kawasan Laut China Selatan, merupakan penghubung utama antara lautan Pasifik dan India, menjadikan nilainya sangat tinggi dari segi perdagangan dan ketenteraan.
Laluan kapal yang menghubungkan Asia Timur dan Eropah serta negara-negara Arab juga bertanggungjawab terhadap nilai dagangan bernilai trillion dolar Amerika.
Media melaporkan isu pemetaan serta tindakan agresif China akan menjadi antara tumpuan perbincangan pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN sewaktu Persidangan Kemuncaknya ke 43 di Jakarta antara 5 hingga 8 September depan.