Pesta Songkran kembali di Thailand, namun lebih sederhana
Agensi
Mac 18, 2022 21:26 MYT
Mac 18, 2022 21:26 MYT
BANGKOK: Thailand akan kembali meraikan pesta air Songkran buat kali pertama selepas tiga tahun pada April ini, namun dengan garis panduan tertentu, ketika negara itu kini bergerak ke arah peralihan fasa endemik COVID-19.
Songkran, perayaan tradisi tahun baharu dari 13 hingga 15 April, yang menyaksikan orang ramai menembak air ke arah satu sama lain di bawah matahari terik selain berkunjungi ke kuil untuk bersembahyang dan melakukan upacara memberi persembahan.
"Kita berada di persimpangan sama ada kita boleh menamatkan pandemik COVID-19 pada pertengahan tahun. Faktornya ialah Songkran," kata Udom Kachintorn, penasihat kepada badan penggubal dasar COVID-19, pada Jumaat.
Aktiviti tradisi Songkran dibenarkan, termasuk kunjungan ke kuil, berdoa, dan mencurah air ke atas patung Buddha serta mencurah air ke tangan orang tua sebagai simbol meminta keberkatan.
Orang ramai dibenarkan menyimbah air antara satu sama lain dalam persekitaran yang dianggap bebas COVID-19.
Bagaimanapun, menyimbah air di kawasan awam seperti di jalanan tidak dibenarkan. Sambutan lain seperti pesta buih dan minum minuman keras juga diharamkan.
Tempat hiburan seperti kelab malam masih ditutup buat masa ini.
Mereka yang menghadiri apa-apa acara di ruang tertutup mesti memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal.