Pesta Bawang bertukar tragedi, tiga maut terkena tembakan
Reuters
Julai 29, 2019 10:56 MYT
Julai 29, 2019 10:56 MYT
Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 11 yang lain cedera dalam insiden tembakan rambang semasa Pesta Bawang Putih Gilroy, di California, Amerika Syarikat pada Ahad (waktu tempatan).
Menurut jurucakap pihak berkuasa, seorang suspek kini ditahan polis.
Anggota polis dan ambulan dikejarkan ke tapak pesta makanan itu susulan menerima laporan kejadian tembakan rambang.
Video insiden tersebut turut dimuatnaik di laman media sosial yang menunjukkan orang ramai bertempiaran lari mencari perlindungan.
Agensi berita NBC Bay Area turut melaporkan 11 orang cedera dalam insiden terbabit pada hari terakhir Pesta Bawang Putih Gilroy, yang berlangsung selama tiga hari.
Menurut saksi, Evenny Reyes, 13, pada awalnya disangkakan bunyi letupan datangnya dari mercun tetapi kemudian terlihat seorang mangsa yang cedera di kaki.
"Kami terlihat seorang lelaki dengan kakinya berbalut dengan skaf bandana yang dipakainya akibat terkena tembakan.
"Seorang kanak-kanak turut tercedera dan terbaring di lantai dan ada juga bertindak memotong pagar untuk melarikan diri," katanya kepada agensi berita San Jose Mercury News.
Seorang lagi saksi, Maximo Rocha berkata, dia terlihat ramai orang terbaring di atas lantai namun dia tidak pasti berapa yang tercedera.
Pesta Bawang Putih Gilroy diperkenalkan pada 1979 dan memaparkan makanan, minuman serta pertandingan memasak yang dianjurkan oleh sukarelawan.
Ia pertama kali diadakan di Taman Christmas Hill dan disifatkan sebagai pesta makanan terbaik musim panas.
Sementara itu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menasihatkan agar semua berhati-hati dan menjaga keselamatan.