Peserta pertandingan ratu cantik Myanmar terus berada di Thailand
Bernama
April 1, 2021 16:18 MYT
April 1, 2021 16:18 MYT
BANGKOK: Peserta Pertandingan Ratu Cantik Myanmar yang sebelum ini merayu masyarakat antabangsa membantu negaranya, akan terus berada di Thailand atas faktor keselamatan.
Menurut wakil penganjur Miss Grand International, Nawat Itsaragrisil, Han Lay akan tinggal di Thailand sekurang-kurangnya tiga bulan dan berada di bawah jagaan penganjur selama tempoh itu.
"Pengurusan Miss Grand International akan menanggung semua kos dan memohon permit kerja untuk Han Lay, bagi membolehkan beliau bekerja secara sah di Thailand," katanya seperti dipetik stesen televisyen Thailand PBS.
Pertandingan berlangsung pada hari sama tentera Myanmar bertindak ganas menyebabkan 114 kematian.
Sementara itu, Han Lay berkata, semakin ramai mengetahui keadaan di negaranya selepas ucapan ringkasnya di pentas pertandingan ratu cantik pada Sabtu, hari yang sama Myanmar bermandi darah apabila lebih 100 orang terbunuh dalam sehari.
"Selepas ucapan saya, mereka tahu lebih banyak mengenai keadaan di Myanmar... sebelum ini mereka hanya tahu ada rampasan kuasa tentera, tetapi mereka tidak tahu berapa ramai yang terbunuh atau menderita di negara saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menyokong Myanmar.
"Rakyat Myanmar tidak dapat melakukan apa-apa, mereka tidak dapat menghentikan tentera... kami meminta pertolongan daripada masyarakat antarabangsa, kami sangat memerlukan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya pada sidang media.
Pada Sabtu malam, Han Lay sebak ketika berucap mengenai keadaan di Myanmar yang semakin buruk berikutan rampasan kuasa tentera pada 1 Februari yang menggulingkan kerajaan Aung Suu Kyi.
"Hari ini di negara saya, Myanmar, ketika saya berdiri di atas pentas ini, lebih 100 orang telah terbunuh ... Tolong bantu Myanmar. Kami amat memerlukan pertolongan segera antarabangsa," katanya ketika berada di pentas pertandingan Miss Grand International. - BERNAMA
Konflik Myanmar | Majlis Keselamatan PBB desak tindakan segera