Peserta Maraton Standard Chartered Singapura meninggal dunia selepas tamatkan larian
Bernama
Disember 1, 2024 22:45 MYT
Disember 1, 2024 22:45 MYT
SINGAPURA: Seorang peserta Maraton Standard Chartered Singapura meninggal dunia selepas menamatkan larian pada Ahad.
Menurut penganjur acara itu, peserta berkenaan telah menerima rawatan perubatan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Besar Singapura.
"Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan rakan-rakan peserta, yang akan terus kami beri sokongan," kata penganjur dalam kenyataan di Facebook.
Menurut laporan The Straits Times (ST), ini merupakan kematian ketiga dalam sejarah acara itu, yang mula dianjurkan pada 2002 dengan Standard Chartered sebagai penaja utama.
Pada 2011, Malcolm Sng Wei Ren, 22, meninggal dunia akibat kekurangan bekalan darah yang akut ke jantung selepas menamatkan acara separuh maraton, diikuti John Gibson, 28, yang meninggal dunia pada 2016 selepas rebah satu km dari garisan penamat, lapor ST.
-- BERNAMA