Pesawat Turki mendarat cemas setelah cermin retak akibat hujan ais
Astro Awani
Ogos 1, 2017 12:29 MYT
Ogos 1, 2017 12:29 MYT
Sebuah pesawat Atlasglobal melakukan pendaratan cemas pada Khamis di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Ataturk selepas mengalami kerosakan teruk akibat hujan ais yang melanda bandar itu.
Bencana itu menyebabkan muncung dan cermin hadapan kapal terbang tersebut rosak teruk dan menyebabkan ciri autopilot pesawat gagal berfungsi.
Juruterbang Alexander Akopov bagaimanapun berjaya mengendalikan pesawat dengan selamat meskipun penglihatannya terjejas selepas cermin hadapan pesawat tersebut retak akibat dilanggar ketulan ais.
Rakaman kejadian memaparkan saat cemas pesawat tersebut melakukan pendaratan dengan keadaan fiuslajnya yang rosak teruk.
Kecekapan Akopov mengemudi pesawat berkenaan telah menyelamatkan nyawa 121 penumpang dan enam anak kapal.
“Radar kami tidak menunjukkan cuaca buruk. Itu tidak dijangka. Namun apa yang penting adalah memastikan semua penumpang selamat,” kata Akopov kepada media.
Kejadian berlaku 10 minit selepas pesawat itu berlepas dari Istanbul ke Erkan di utara Cyprus.
Akopov diberi kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang Ataturk meskipun ia telah ditutup untuk penerbangan lain ekoran cuaca buruk.
Atas keberaniannya itu, Akopov dianugerahkan pingat "Order For Courage" dari Ukraine.
Ribut yang melanda selama 20 minit itu telah melumpuhkan trafik serta menyebabkan banjir kilat yang menenggelamkan kereta dan bas serta turut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera.