Pesawat Thai Lion Air tidak jadi berlepas selepas penumpang bercakap tentang bom

Agensi
Disember 4, 2016 14:52 MYT
Kesemua penumpang yang sepatutnya berlepas ke Bangkok, terpaksa menunggu lebih dua jam untuk penerbangan seterusnya. - Foto www.planespotters.net/ K. Boonkong
Sebuah pesawat Thai Lion Air penerbangan SL703 yang sepatutnya berlepas dari Hat Yai ke Lapangan Antarabangsa Don Mueang pada jam 10.05 pagi tadi, terpaksa ditangguhkan sehingga jam 12.30 tengah hari untuk pemeriksaan keselamatan.
Ia terjadi gara-gara anak kapal terdengar sekumpulan penumpang bercakap tentang bom dalam ruang simpanan beg pesawat berkenaan, lapor portal berita Bangkok Post yang memetik beberapa laporan media tempatan.
Pengarah Lapangan Terbang Hat Yai, Monthanik Rakngam, kemudian mengesahkan laporan itu.
Menurutnya, sekitar jam 10 pagi, sewaktu petugas kabin membuat pengumuman agar penumpang mematikan telefon mudah alih dan peralatan komunikasi lain, seorang lagi petugas kabin terdengar enam orang penumpang berbual sesama sendiri bahawa ‘terdapat bom dalam ruang simpanan beg’.
Sejurus kemudian, juruterbang telah meminta kesemua penumpang agar meninggalkan pesawat supata kerja-kerja pemeriksaan keselamatan boleh dijalankan.
Enam penumpang berkenaan juga telah ditahan untuk disoal siasat.
Tiada sebarang bom ditemui dalam pemeriksaan tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada enam penumpang itu dikenakan tindakan undang-undang.
#ancaman bom #Don Mueang #tertangguh #Thai Lion Air
;