Pesawat terpaksa berpatah balik gara-gara kelawar dalam kabin

Afiq Ariffin
Mei 29, 2021 09:08 MYT
Kelawar yang dirakam terbang di dalam ruang kabin pesawat dan mengganggu para penumpang. -Foto YouTube/AIRLIVE
PELIK tetapi itulah yang berlaku.
Sebuah pesawat Air India yang dalam penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) terpaksa berpatah balik apabila seekor kelawar terbang di dalam ruang kabin penumpang.
Difahamkan penerbangan ke Newark (EWR) itu baru sahaja berlepas meninggalkan Lapangan Terbang IGI Delhi kira-kira jam 2.20 pagi.
Namun, selepas 30 minit berada di ruang udara, seekor kelawar dilihat mula terbang di dalam kabin pesawat dan mengganggu penumpang.
Susulan kejadian, juruterbang membuat keputusan berpatah balik ke lapangan terbang di Delhi.
Kejadian aneh itu juga turut dimaklumkan kepada pusat kawalan ruang udara Delhi.
“AI-105 DEL-EWR terpaksa berpatah balik ke lapangan (Delhi) selepas berlepas dari lapangan, amaran kecemasan turut dikeluarkan.
“Ia selepas kru pesawat mendapati ada seekor kelawar mula terbang ke dalam ruang kabin.
“Kakitangan hidupan liar turut dipanggil bagi menangkap dan mengeluarkan haiwan itu dari ruang kabin,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Air India.
Pesawat itu dilapor selamat mendarat di lapangan terbang kira-kira jam 3.55 pagi dan kelawar berkenaan berjaya dikeluarkan.
#pesawat #patah balik #kelawar #masuk #ruang #kabin #Air India #Amerika Syarikat #penerbangan #India #aneh
;