Pesawat terhempas: Naib Presiden Malawi, sembilan disahkan terkorban

Agensi
Jun 11, 2024 19:58 MYT
NAIB Presiden Malawi, Saulos Klaus Chilima dan sembilan yang lain disahkan terkorban selepas pesawat yang membawa mereka dilaporkan terhempas - Foto/REUTERS
NAIB Presiden Malawi, Saulos Klaus Chilima dan sembilan yang lain disahkan terkorban selepas pesawat yang membawa mereka dilaporkan terhempas.
Presiden Malawi, Lazarus Chakwera dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan serpihan bangkai pesawat telah ditemui dan kesemua mangsa tidak terselamat.
"Sesuatu yang buruk berlaku dengan penerbangan itu," kata Chakwera seperti dilapor media antarabangsa, hari ini.
Chakwera menyifatkan Chilima, 51, sebagai seorang pemimpin yang baik dan berkhidmat dengan cemerlang kepada negara.
Terdahulu, Pegawai tertinggi tentera Malawi, Paul Valentino Phiri berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan selepas pesawat berkenaan dipercayai terhempas di kawasan hutan tebal.
Begitu pun, katanya, operasi SAR terganggu susulan cuaca berkabus di sekitar Hutan Chikangawa, sekali gus menjejaskan penglihatan.
Kenyataan Pejabat Presiden negara itu sebelum ini memaklumkan pesawat yang menerbangkan Chilima berlepas dari ibu kota, Lilongwe pada jam 9.17 pagi waktu tempatan.
Pesawat tersebut dijadual mendarat di di Lapangan Terbang Antarabangsa Mzuzu pada pukul 10.02 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun, pesawat tersebut gagal membuat pendaratan kerana jarak penglihatan yang kurang baik sebelum diarah pulang ke ibu negara.
Pihak berkuasa penerbangan kemudian terputus hubungan dengan pesawat berkenaan.
#pesawat terhempas #Naib Presiden Malawi #Naib Presiden Malawi terkorban
;