Pesawat terhempas di Elmina: Operasi pencarian 95 peratus selesai, laluan dibuka tengah hari ini

Firdaus Azil
Ogos 18, 2023 10:00 MYT
Operasi pembersihan sisa pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), termasuk usaha mengesan saki-baki cebisan mayat sudah 95 peratus selesai dan akan ditamatkan dalam masa terdekat. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
SHAH ALAM: Operasi pembersihan sisa pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), termasuk usaha mengesan saki-baki cebisan mayat sudah 95 peratus selesai, dan akan ditamatkan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau menjangkakan laluan utama di Persiaran Elmina yang ditutup bagi operasi, akan kembali dibuka kepada orang awam tengah hari ini.
Bagaimanapun, jelasnya, ia bergantung kepada proses pembersihan serpihan di atas jalan yang akan dilakukan dengan kerjasama Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan serta agensi-agensi lain.
“Pertama saya nak umumkan pencarian kita di sini telah berakhir, dengan kemajuan sekitar 95 peratus. Cuma last touch up untuk bersihkan mungkin ada human remains sikit-sikit yang kita akan ambil.
“Mayat yang dijumpa lengkap satu, dan sembilan lagi tak lengkap. Kita telah mengesan dan menjumpai 10 mayat kesemuanya dan cebisan atau anggota badan dalam 15,“ katanya lagi.
Selain itu beliau berkata, pesawat berkenaan tidak mempunyai perakam data penerbangan (FDR), dan hanya mempunyai CVR.
Razaruddin berkata, setakat ini 22 anggota keluarga atau waris terdekat telah tampil untuk diambil sampel DNA bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum diserahkan kepada kepada keluarga untuk pengebumian.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan pencarian meliputi jarak 11,000 meter persegi dari lokasi kejadian, dan laluan utama akan kembali dibuka kepada orang awam hari ini, bergantung kepada kecepatan membersihkan laluan tersebut.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa mungkin ada penumpang dalam kenderaan yang terlibat, Razarudin berkata, semakan mendapati pemandu tersebut telah membatalkan pesanan untuk penumpang lebih awal iaitu sekitar jam 2 petang.
Semalam media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun adalah antara nama yang tersenarai dalam manifest penumpang pesawat tersebut pada jam kira-kira 2.50 petang semalam.
Turut tersenarai adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib.
Bagaimanapun, Loke berkata, identiti dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam insiden itu akan disahkan melalui siasatan polis.
#pesawat terhempas di Elmina #pesawat Beechcraft Model 390 #Operasi pencarian #Ketua Polis Negara
;