Pesawat terhempas di Colombia: 3 kanak-kanak, 1 bayi masih hidup

Bernama
Mei 18, 2023 13:16 MYT
Angkatan bersenjata Colombia mengesahkan mereka berjaya mengesan empat kanak-kanak berumur 13, sembilan tahun, empat tahun dan 11 bulan. - Gambar/ Reuters
BANDARAYA MEXICO: Tiga kanak-kanak dan seorang bayi dipercayai masih hidup selepas 17 hari insiden pesawat yang mereka dinaiki terhempas di hutan di selatan Colombia, menurut Presiden Gustavo Petro pada Khamis.
"Empat kanak-kanak yang hilang masih hidup, selepas anggota tentera melakukan operasi mencari membabitkan nahas pesawat di Guaviare. Satu kegembiraan untuk negara."
Angkatan bersenjata Colombia mengesahkan mereka berjaya mengesan empat kanak-kanak berumur 13, sembilan tahun, empat tahun dan 11 bulan.
Pada pagi Khamis, tentera menemui tempat perlindungan yang dibina menggunakan kayu dan dahan yang menjadi indikasi bahawa ada mangsa yang terselamat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kerajaan Colombia mengerahkan lebih 100 askar, anjing pengesan dan orang asli tempatan untuk mencari kanak-kanak berkenaan.
Semua kanak-kanak itu dilaporkan menaiki pesawat ringan Cessna C206 sebelum terhempas di Amazon di selatan Caqueta pada 1 Mei lalu.
Sementara itu, tiga penumpang dewasa yang lain maut dalam tragedi itu.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #Colombia #kanak-kanak dan bayi #masih hidup
;