Pesawat terhempas: 47 penumpang dan kru kabin selamat

Reuters
September 28, 2018 12:58 MYT
Penumpang diselamatkan menggunakan bot-bot kecil pasukan penyelamat - Foto Reuters
Seramai 47 penumpang dan kru kabin berjaya diselamatkan dari pesawat Air Niugini yang jatuh terhempas ke dalam laut berdekatan landasan di lapangan terbang di Pasifik Selatan Micronesia pada hari Jumaat, kata pengurus lapangan terbang berkenaan.
"Pesawat berkenaan sepatutnya mendarat di lapangan terbang itu namun ia terbabas dan terhempas pada jarak 150 meter jauh dari lapangan terbang berkenaan," kata Jimmy Emilio, pengurus besar Lapangan Terbang Chuuk di Weno di Micronesia kepada Reuters.
Menurut Emilio, pesawat Boeing 737-800 itu terhempas di dalam lagun yang dikelilingi pulau kecil dekat kawasan berkenaan pada kira-kira 9.30 waktu tempatan (2330 GMT khamis).
Penumpang dan kru pesawat itu diselamatkan mengunakan bot-bot kecil dan dibawa ke hospital berdekatan namun tiada kecederaan serius dilaporkan.
"Saya fikir kami sudah mendarat sehinggalah saya melihat sekeliling dan terlihat ada lubang di sisi pesawat serta air mula masuk ke dalam pesawat," kata penumpang Bill Jaynes dalam video yang disiarkan oleh laman web Pacific Daily News.
Menurut Jaynes, air laut yang memasuki kabin itu berada pada paras pinggang sebelum pasukan penyelamat tiba untuk menyelamatkan mereka.
Terdapat video yang diterbitkan dalam talian oleh Radio New Zealand dan gambar-gambar yang tersebar di Twitter menunjukkan pesawat tersebut separuh tenggelam dan dikelilingi oleh bot-bot kecil pasukan penyelamat.
Jurucakap Suruhanjaya Siasatan Kemalangan Papua New Guinea berkata penyiasat mereka akan terbang ke Kawasan kejadian secepat mungkin untuk menyiasat apa yang berlaku.
Pada tahun 2013, seramai 101 penumpang yang menaiki penerbangan Lion Air turut terbabas dari landasan di Denpasar di Indonesia dan mendarat di dalam air cetek serta turut diselamatkan oleh bot penyelamat tanpa sebarang kecederaan.
#Boeing #bot #kemalangan #Lion Air #micronesia #pesawat #Suruhanjaya Siasatan Kemalangan Papua New Guinea #Sydney #terhempas
;