Pesawat terhempas: 4 beradik ditemui selamat selepas 40 hari, ini cara mereka bertahan
Astro Awani
Jun 11, 2023 18:00 MYT
Jun 11, 2023 18:00 MYT
KEJADIAN tiga kanak-kanak bersama kakak mereka berusia 13 tahun berjaya bertahan selama 40 hari di Hutan Amazon di Colombia, selepas kapal terbang mereka terhempas bulan lalu, mengejutkan dunia.
Remaja perempuan itu dikatakan menjadi wira dan individu penting memastikan tiga adiknya berusia satu, empat dan sembilan tahun selamat, sebelum semua mereka ditemui pasukan penyelamat, Jumaat lalu.
Menteri Pertahanan Colombia, Ivan Velasquez Gomez, memberitahu wartawan dalam sidang media pada Sabtu bahawa empat beradik itu sedang dirawat di Hospital Tentera Persekutuan Bogota dan keadaan mereka stabil.
Mereka ialah Lesly Jacobombaire Mucutuy, 13 tahun, Soleiny Jacobombaire Mucutuy, 9, Tien Noriel Ronoque Mucutuy, 4, dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy, 1, ditemui dalam keadaan dehidrasi, malnutrisi, dan mengalami jangkitan.
Pegawai tentera menyatakan bahawa keempat-empat mangsa itu sedang menerima sokongan pemakanan dan psikologi, lapor Washington Post.
Rakyat Colombia sangat gembira kerana kanak-kanak itu ditemui hidup, berjaya bertahan di hutan sepanjang tempoh itu.
Inilah yang perlu diketahui mengenai usaha penyelamatan - dan bagaimana kanak-kanak itu mungkin bertahan hidup.
Bilakah kapal terbang itu mengalami kemalangan, dan bagaimana kanak-kanak itu diselamatkan?
Kapal terbang itu terbang dari bandar selatan Araracuara apabila ia hilang pada 1 Mei. Menurut pihak berkuasa, pasukan penyelamat menemui bangkai pesawat dan mayat juruterbang, ibu kanak-kanak itu serta seorang dewasa lain.
Namun empat beradik itu yang merupakan anggota suku Huitoto, tidak ditemui. Laporan menyatakan bahawa kanak-kanak itu berada di bahagian belakang kapal terbang ketika kemalangan berlaku.
Kemudian, penyelamat menemui petunjuk yang memberi harapan mereka masih hidup. Antara yang ditemui adalah sepasang kasut sukan kanak-kanak, selain lampin, buah yang separuh dimakan, dan botol di dalam hutan.
Penyelamat kemudian menemui perlindungan sementara yang dibina daripada kayu dan dahan, serta sepasang gunting dan beberapa gelang rambut, selain kesan tapak kaki kecil, kira-kira tiga kilometer dari tempat kemalangan.
Bagaimana kanak-kanak tersebut dapat bertahan?
Belum jelas bagaimana empat beradik itu bertahan di dalam hutan yang dipenuhi pelbagai bahaya itu selama ini - tetapi Pertubuhan Orang Asli Amazon Colombia, berkata ia membuktikan 'pengetahuan dan hubungan dengan alam semula jadi' yang diajar sejak kecil.
Nenek kanak-kanak itu, Fatima Valencia, juga memberitahu AFP bahawa kakak sulung, mempunyai sifat 'pejuang' dan 'sentiasa menjaga' adik-adiknya.
"Dia memberi mereka makan buah-buahan dari hutan," katanya.
Sementara itu, datuk mereka berkata bahawa dua orang adik lelaki, yang berusia sembilan dan empat tahun, mahir berjalan di dalam hutan.
Menteri Pertahanan, Gomez menyatakan bahawa 'kepimpinan dan keberanian' anak sulung, serta 'pengetahuannya tentang hutan' membantu adik-adiknya untuk bertahan.
Carlos Peres, seorang profesor ekologi hutan tropika di University of East Anglia di England yang telah bekerja dengan lapan kumpulan etnik di hutan Amazon, berkata bahawa pengetahuan kanak-kanak itu mengenai hutan itu telah membantu mereka untuk bertahan.
"Ramai kanak-kanak komuniti Orang Asli di Amazon 'matang dengan cepat' dan pada usia yang muda belajar kemahiran asas untuk bertahan hidup di hutan, termasuk cara mencari makanan dan mengelakkan pemangsa.
"Mendapatkan air tidak menjadi masalah, menemui sungai di sesebuah kawasan, Orang Asli dapat dengan cepat membina perlindungan sementara," katanya.